COVID-19: Warga Indonesia, Filipina, India dilarang masuk Malaysia mulai 7 September

PUTRAJAYA: Kerajaan menyekat kemasukan pemegang pas jangka panjang membabitkan warga asing dari Indonesia, India dan Filipina.


Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata keputusan itu berikutan kenaikan kes COVID-19 secara mendadak di negara terbabit.


Katanya, sekatan kemasukan warga asing dari tiga negara itu akan berkuat kuasa pada Isnin ini.


"Sekatan ini merangkumi enam kategori, iaitu mereka berstatus pemastautin tetap (PR), Program Malaysia Rumah Keduaku (MM2H), ekspatriat termasuk pemegang pas lawatan profesional (PVP) dan pemegang pas residen," katanya dalam sidan media di sini hari ini.


Ismail Sabri berkata, jika warga asing dari tiga negara itu kembali ke negara asal, mereka tidak lagi dibenarkan untuk memasuki Malaysia, walaupun individu itu pemegang pas.


"Kalau dulu saya umumkan kelonggaran kemasukan beberapa kategori untuk masuk ke Malaysia, namun kita tidak benarkan lagi.


"Buat masa ini, tiga negara itu sahaja yang disekat kemasukannya. Sekiranya negara lain turut mencatatkan kes COVID-19 secara mendadak, tindakan yang sama akan dikenakan," katanya.


Sementara itu, mengenai kebimbangan Kementerian Kesihatan mungkin kes COVID-19 akan meningkat di negara yang mengalami musim sejuk, Ismail berkata, perkara itu dalam perhatian pihak berkuasa.


"Kementerian Kesihatan sudah memaklumkan kepada kita mengenai kerisauan kes meningkat pada musin sejuk. Jadi kita minta pihak kementerian untuk membuat perancangan lebih terperinci.


"Satu caranya ialah dengan membuat sekatan sempadan warga asing dari negara berkenaan dari masuk ke Malaysia. Bagaimanapun, yang lebih membimbangkan bukan warga asing, namun rakyat Malaysia di sana yang ingin pulang ke Malaysia.


"Kawalan sempadan untuk rakyat Malaysia lebih susah kerana kerajaan tidak boleh sekat kemasukan mereka ke negara ini seperti yang dilakukan kepada warga asing," katanya.


Sebelum ini, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham dilaporkan berkata, pihaknya bersiap siaga menghadapi kemungkinan pertambahan kes COVID-19 dari luar negara dalam tempoh empat bulan akan datang, iaitu ketika musim sejuk negara berkenaan.


Katanya, jangkitan di India, Korea Selatan, Jepun, Sepanyol dan Perancis menunjukkan peningkatan seiring penurunan suhu di semua negara itu.



Sumber: Berita Harian

0 views0 comments