DBKU ambil serius isu bahasa papan tanda oleh DAP



KUCHING: Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) memandang serius tindakan Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) Kuching melekatkan tulisan Cina pada beberapa papan tanda jalan di sekitar bandar raya ini.


Menteri Muda di Jabatan Ketua Menteri (Hal Ehwal Islam dan DBKU) Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi berkata perbuatan tersebut adalah melanggar peraturan kerana tidak mendapat kebenaran DBKU.


“Perbuatan seperti ini juga dianggap vandalisme kerana merosakkan harta benda awam.


“DBKU memandang serius perkara ini,” katanya sebagai mengulas mengenai tindakan DAPSY Kuching tersebut yang dilihat melanggar peruntukan Perlembagaan Persekutuan dan Akta Bahasa Kebangsaan 1963/1967.


Akta tersebut menetapkan bahasa kebangsaan hendaklah digunakan dalam semua urusan rasmi kerajaan termasuk pada papan tanda nama jalan.


Ujar Dr Abdul Rahman lagi, DAP juga tidak sepatutnya mengheret DBKU dalam politik mereka.


Apa yang menjadi kebimbangan ialah tindakan seperti ini boleh mencetuskan ketegangan kaum kerana bukan sahaja tidak beretika malah tidak peka dengan sentimen masyarakat majmuk di Sarawak.


DAP Sarawak menurut Dr Abdul Rahman lagi tidak sepatutnya terikut-ikut dengan apa yang berlaku di Semenanjung.



Sumber: Utusan Borneo

1 view0 comments

Recent Posts

See All