Dendamkan bekas suami, wanita nekad roboh rumah



Jakarta: Seorang wanita di Jawa Timur nekad merobohkan rumah yang pernah dihuni bersama bekas suaminya.


Ia selepas lelaki itu bertindak membawa isteri baharunya tinggal di rumah berkenaan.


Sedangkan bekas isteri mendakwa lelaki itu tidak membahagikan harta sepencarian secara adil selepas mereka bercerai 20 tahun lalu.


Tribunnews melaporkan, kejadian itu berlaku di Kampung Trowulan, Mojokerto.


Ainun Jariyah, 44, dilaporkan sudah tidak boleh bersabar dengan tindakan bekas suaminya, Kasnan, 50.


Dia mengupah 10 orang untuk merobohkan rumah bekas suaminya dengan bayaran lima juta rupiah (RM1,427).


Tindakan itu selepas Kasnan tidak sanggup memenuhi permintaan Ainun yang meminta pampasan untuk rumah itu sebanyak 30 juta rupiah (RM8,566).


Ketua Kampung Trowulan Zainul Anwar berkata, pihaknya sudah melakukan perbincangan selepas Ainun datang ke pejabat Balai Desa.


Wanita itu mahukan pembahagian harta sepencarian yang adil dengan bekas suami.


"Jadi, pihak Ainun mengajukan untuk dibahagikan hak sama rata dan meminta kami untuk memanggil Kasnan, namun sudah dua kali (lelaki itu) tidak hadir," katanya.


Zainul juga dalam perbincangan itu meminta supaya rumah itu tidak diroboh dan menyarankan lebih baik rumah itu diletak nama satu-satunya anak hasil perkongsian hidup mereka, Amilia, 23.


Namun, saranan itu tidak dapat dilakukan berikutan geran tanah adalah warisan daripada keluarga Kasnan.


Ainun berkata, dia rela mengeluarkan wang lima juta rupiah untuk kos merobohkan rumah itu yang kini didiami bekas suaminya.


Wanita itu mengakui berdendam atas perbuatan bekas suaminya yang tidak bertanggungjawab selepas bercerai.


"Soalnya, hati saya marah tidak keruan dan sakit hati, 20 tahun saya memendam rasa, dia 'sedap' tinggal di rumah ini bersama isteri (baharu)," katanya.



--Sumber: Harian Metro

1 view0 comments