Dibuang kerja selepas 'sengaja' rosakkan dos vaksin COVID-19



WISCONSIN: Seorang pekerja penjagaan kesihatan Wisconsin dibuang kerja selepas mengaku sengaja mengeluarkan puluhan botol vaksin COVID-19 Moderna daripada peti sejuk farmasi, memaksa lebih 500 dos terpaksa dibuang.


Peguam bela Aurora Health dalam satu kenyataan berkata, individu terbabit mengakui tindakannya semalam selepas syarikat terbabit mempercayai kejadian itu dilakukan manusia dan yakin perbuatan itu dilakukan pada hujung minggu lalu.


"Kami berasa lebih kecewa tindakan individu terbabit yang sekali gus mengakibatkan kelewatan kepada lebih 500 orang yang sepatutnya menerima vaksin mereka," kata syarikat berkenaan dalam satu kenyataan.


"Ini adalah pelanggaran terhadap nilai kepercayaan kami dan individu itu tidak lagi bekerja dengan syarikat," katanya.


Syarikat itu juga menyatakan pihaknya sudah mengadu kepada 'pihak berkuasa berkaitan' bagi tindakan lanjut.


Bagaimanapun, ia tidak menjelaskan lebih lanjut mengapa botol itu dikeluarkan.


Kejadian itu berlaku pada 26 Disember lalu di Pusat Perubatan Aurora di Grafton, sebuah bandar terletak kira-kira 40 kilometer di utara Milwaukee.


Peguambela Aurora Health Isnin lalu menyatakan bahawa lebih 50 botol vaksin Moderna (sebotol mempunyai 10 vaksin) dikeluarkan daripada simpanan peti sejuk untuk mengakses barang lain, bagaimanapun ia tidak dimasukkan semula.


"Meskipun sebilangan vaksin diberikan kepada anggota pasukan pada 26 Disember dalam tempoh 12 jam selepas tempoh penyejukan yang dipersetujui, namun sebahagian besarnya perlu dibuang berikutan tidak memenuhi keperluan penyimpanan suhu yang diperlukan untuk mengekalkan daya ketahanannya," kata syarikat itu lagi.


Vaksin Moderna, yang diluluskan di Amerika Syarikat (AS) pada 19 Disember lalu, perlu disimpan pada suhu beku ketika penyimpanan sebelum diberikan.


Jabatan Perkhidmatan Kesihatan Wisconsin menyatakan sudah memberikan 47,157 dos vaksin pada Selasa dengan 6,306 daripadanya dihasilkan Moderna.


AS memperuntukkan lebih 265,000 dos kedua vaksin Moderna dan Pfizer-BioNTech, dan hingga kini sudah menerima hampir 157,000 dos.


Awal bulan ini, pegawai pentadbiran Trump menyatakan, mereka merancang untuk mengagihkan 20 juta dos vaksin ke seluruh negara sehingga akhir tahun.


Bagaimanapun, menurut data yang diberikan Pusat Kawalan Penyakit, lebih 11.4 juta dos sudah diagihkan dan hanya 2.1 juta orang yang menerima dos pertama mereka.


Semalam, Presiden AS yang dipilih, Joe Biden memberi amaran vaksin perlu diberikan bertahun-tahun, bukan hanya tempoh berbulan, untuk memberi vaksin kepada seluruh rakyat Amerika. - AGENSI

0 views0 comments
COntact us
  • Grey Twitter Icon
  • Grey Facebook Icon
  • Instagram

© 2020 by The Pillar News.