Ditinggalkan kekasih sebab kulit gelap, lasak


KUALA LUMPUR: Menjadikan platform media sosialnya sebagai satu wadah untuk menyebarkan perkongsian positif, penyanyi dan pelakon, Cik Manggis mahu memanfaatkan Instagram dan TikTok sebaiknya.


Manggis atau nama sebenarnya Nurshazwani Shamsuddin, 30, berkata, dia suka membuat kandungan dalam laman sosial, justeru menggunakan bakat dan minatnya untuk menarik netizen melakukan perkara positif.


"Saya menggunakan bakat dalam proses penyuntingan dan videografi dengan bekerjasama dengan jenama menghasilkan kandungan. Alhamdulillah, ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) banyak jenama yang mahu bekerjasama dengan saya.


"Sekurang-kurangnya, saya dapat menjana pendapatan sampingan, memandangkan tidak dapat keluar bekerja seperti biasa," katanya kepada BH Online.


Manggis yang juga salah seorang trio wanita, De Fam itu pernah tular dengan video cabaran, Barbie Challenge.


Cabaran yang dilakukan itu merakamkan keunikan cara solekan, teknik penyuntingan dan kecantikannya, rata-ratanya mendapat pujian. Manggis kemudiannya berkongsi pengalaman ditinggalkan kekasih kerana imejnya.


Seperti orang lain, Manggis berkata, dia melalui pengalaman pahit yang mengajarnya untuk menghargai dan menjaga diri.


"Saya sebenarnya bersikap ala-tomboy sejak kecil kerana dibesarkan oleh ayah. Bayangkanlah, jika ayah yang menjaga, memang perwatakan agak kasar.


"Saya lasak dan kasar dengan imej rambut pendek sejak kecil. Biasalah zaman sekolah, saya terjebak dengan cinta monyet. Disebabkan imej itu, saya ditinggalkan. Saya dikatakan seperti lelaki, tak cukup sifat kewanitaan.


"Saya balik tengok cermin dan cakap pada diri sendiri, muka seperti ini dengan kulit gelap dan perwatakan jantan, macam mana lelaki nak tertarik. Mulai dari situ, saya simpan rambut panjang.


"Saya berbisik pada diri, saya akan berambut panjang dan buktikan pada orang yang saya juga cantik. Saya jadikan ia sebagai motivasi untuk menaikkan tahap keyakinan diri," kata anak kedua dari empat beradik itu.


Sejak penampilannya berubah sikit demi sikit dan secara tak langsung keyakinannya mula bertambah.


Kongsi Manggis lagi, kebersihan diri dan keperibadian positif juga dapat membuatkan seseorang bertambah cantik.


"Saya sedar betapa pentingnya penampilan diri untuk menaikkan keyakinan diri. Sebenarnya, tak kisah pun rambut panjang atau pendek kerana yang penting keselesaan.


"Bagi saya, semua orang dalam dunia dilahirkan cantik. Cuma yang membezakannya adalah rajin atau tidak. Bersih atau tidak. Sebab ayah pernah cakap, apa yang penting kebersihan dan cantik jatuh nombor dua.


"Apabila bersih, secara semula menjadikan kita cantik. Cuba bayangkan, saya cantik, tetapi tak gosok gigi. Bagi saya, kita kena rajin bersihkan diri," katanya.


Manggis berkata, dia menjadikannya sebagai satu disiplin dan rutin harian supaya bersih di mata orang serta sedap mata memandang.


"Lebih membuatkan seseorang tambah cantik adalah keperibadian. Bercakaplah perkara positif kerana ini akan membuat orang lebih selesa," katanya.


Sementara itu, berkongsi perkembangan DeFam, Manggis berkata, kumpulan itu sudah kembali bekerja dan akan tampil dengan single baharu sekitar September depan.


"Kami sudah kembali aktif dengan menjayakan program televisyen seperti program Stage 104 yang akan ke udara di Astro Ria nanti.


"Dalam pada itu, kami sedang menyiapkan single baharu. Insya-Allah, Warner Music akan melancarkan sekitar September, sekiranya tiada aral melintang.


"Sepatutnya, single keluar bulan ini, tetapi disebabkan PKP, kami tidak dapat berbuat demikian," katanya.


Katanya, single itu berbeza daripada apa yang pernah dihasilkan seperti Panas dan Supergirls.


"Setiap keluar single, DeFam suka tampil dengan sesuatu yang berbeza kerana mahukan kepelbagaian. Jadi, untuk single kali ini, kami tampil dengan genre pop balada sebab kami mahu fokus kepada vokal," katanya.




Sumber: Berita Harian

0 views0 comments
COntact us
  • Grey Twitter Icon
  • Grey Facebook Icon
  • Instagram

© 2020 by The Pillar News.