Dr M dakwa ada pemimpin Bersatu setuju ‘lompat’ jika Pejuang boleh tawar RM70,000 sebulan



PETALING JAYA: Kalangan pemimpin Bersatu menawarkan diri untuk “lompat” ke Pejuang jika parti itu boleh “menandingi” imbuhan sehingga RM70,000 sebulan yang diterima mereka ketika ini, kata Dr Mahathir Mohamad.


Pengerusi Pejuang itu berkata, pemimpin Bersatu berkenaan masih bersama parti itu kerana mementingkan wang, walaupun menyedari Muhyiddin Yassin hanya mampu bertahan sebagai perdana menteri sehingga PRU15.


Mahathir berkata, beliau telah menghantar mesej kepada pemimpin Bersatu mengenai “jangka hayat politik” singkat parti itu menerusi ‘broker’ tertentu yang diutuskan bagi meyakinkannya untuk kembali kepada Bersatu.


“(Broker) ajak saya masuk Bersatu, tapi saya juga hendak mereka keluar dari Bersatu, sertai kami. Mereka pilih untuk sokong Muhyiddin pasal dapat jadi menteri. Bersatu akan kalah dalam pilihan raya pasal… Umno akan berlawan dengan Bersatu. Jadi kemungkinan Bersatu dipilih (membentuk kerajaan), susah dan sudah tentu Muhyiddin tak akan jadi PM,” Mahathir memberitahu Mingguan Malaysia.


Bekas perdana menteri itu berkata, memandangkan realiti politik semasa, beliau mahukan pemimpin Bersatu menyertai Pejuang, namun gesaannya itu belum berhasil setakat ini.


“Saya kata kepada mereka dalam keadaan yang mana Bersatu akan kalah dalam PRU..baliklah kepada kami. Pejuang ini bekas Bersatu. Mereka jawab dia dapat gaji RM70,000 sebulan, dia kata kalau kita boleh bagi gaji RM70,000 sebulan, dia ‘roll over’ (lompat).


“Jadi, soal(nya) pasal duit sahaja. Pasal semangat tidak ada. Yang ada semangat tak sertai Bersatu,” kata Mahathir.


Dalam wawancara itu, Mahathir juga meramalkan PRU15 tidak akan menyelesaikan kemelut politik semasa negara.


Beliau berkata, terlalu banyak parti akan bertanding pada pilihan raya umum akan datang, tanpa mana-mana parti memperoleh kemenangan jelas untuk menubuhkan kerajaan kukuh.


“Saya fikir PRU15 ini tidak menyelesaikan masalah. Kita dapati banyak parti bertanding. Semua parti kecil-kecil belaka. Tidak ada parti dominan.


“Masing-masing akan dapat (kemenangan) kecil-kecil (yang) tak cukup. Ada yang dapat 30, 50, 15 (kerusi Parlimen), masing-masing tidak dominan. Jadi, bila tidak dominan, yang dapat terbanyak (kerusi) berhak untuk mendirikan kerajaan minoriti,” katanya.


Beliau berkata, kerajaan minoriti tidak stabil kerana mengharapkan sokongan parti lain dengan menawarkan pelbagai ganjaran.


“Kedudukan kerajaan minoriti tidak akan stabil, pasal mana-mana satu parti tarik (sokongan), (kerajaan) akan jatuh. Jadi, itulah yang akan jadi dalam PRU15,” kata Mahathir.



--Sumber: Free Malaysia Today

0 views0 comments