Dua beradik disyaki didera ibu kandung, teman lelaki


BUKIT MERTAJAM: Dua beradik lelaki masing-masing berusia lima dan tujuh tahun cedera di beberapa anggota badan dipercayai didera ibu kandung dan teman lelakinya, dekat Permatang Tinggi, di sini, minggu lalu.


Kejadian itu disedari apabila kedua beradik itu pulang ke rumah bapa saudara mereka jam 6 petang kelmarin di Taman Keenways, di sini selepas 10 hari berada dalam jagaan ibu kandung.


Bapa saudara mereka yang bekerja sebagai eksekutif logistik menemui kesan kecederaan pada anggota badan dua kanak-kanak itu seolah-olah dipukul dan mengesyaki berlaku penderaan.


Ketua Polis Daerah Seberang Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Shafee Abd Samad, berkata lelaki 39 tahun itu kemudiannya membuat laporan polis berhubung insiden berkenaan.


"Mangsa memaklumkan ibu kandung dan teman lelakinya bertindak memukul mereka dengan tangan, kayu dan tali pinggang dalam sebuah bengkel.


"Bapa saudara mereka terus membawa mangsa ke Hospital Bukit Mertajam (HBM) untuk pemeriksaan dan rawatan lanjut," katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.


Shafee berkata, susulan itu polis menahan ibu kandung mangsa berusia 33 tahun dan teman lelakinya berusia 28 tahun di perkarangan HBM jam 3.20 pagi semalam.


"Kedua-dua suspek yang datang ke hospital berkenaan dipercayai mahu melihat keadaan mangsa mengakui memukul dua beradik itu kerana degil," katanya.


Jelasnya, ibu kandung mangsa tinggal bersama teman lelakinya seorang pemandu lori sejak Mei lalu sementara mangsa tinggal di asrama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sejak Disember tahun lalu hingga Mac.


Mereka kemudiannya dijaga oleh bapa saudara berikutan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).


"Disebabkan mahu membawa ibunya mendapatkan rawatan di hospital, lelaki itu bimbang tiada siapa akan menjaga anak saudaranya itu.


"Lalu dia menghantar dua beradik berkenaan kepada ibu kandung mereka pada 24 Jun hingga 3 Julai lalu .


"Bagaimanapun dia terkejut apabila anak saudaranya pulang dengan banyak kesan lebam dan kecederaan pada anggota badan akibat didera," katanya.


Kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.




Sumber: Berita Harian

1 view0 comments