Dua pemenang Nestlé Gaji Seumur Hidup kini mampu realisasikan impian



TAWARAN hadiah 'Gaji Seumur Hidup' berjumlah RM3,000 setiap bulan pastinya menjadi impian setiap orang.


Apatah lagi, dalam tempoh pandemik Covid-19 sedang melanda dunia dan negara, sudah tentu ia meringankan beban kewangan sesiapa sahaja.


Kemenangan untuk keluarga


Berkongsi kejayaannya kepada Harian Metro, pemenang Hadiah Utama Nestlé Gaji Seumur Hidup, Amirrul Hafiz Bin Razak, 32, berkata penantiannya selama 15 minggu berakhir gembira. Amirrul Hafiz Bin Razak dari Temerloh, Pahang, terharu apabila diumumkan sebagai pemenang Hadiah Utama Peraduan Nestlé Gaji Seumur Hidup!


Beliau sama sekali tidak menyangka dengan hanya menghantar sebanyak tujuh penyertaan setiap minggu sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) melayakkannya ke cabaran akhir Peraduan Nestlé Gaji Seumur Hidup.


"Pada mulanya sasaran saya untuk dapatkan hadiah mingguan sahaja memandangkan peluang menang hadiah gaji setahun atau hadiah utama amatlah tipis," katanya.


Namun, berkat sokongan ibu bapa dan isteri, Amirrul bersemangat meneruskan cabaran dan akhirnya dinobatkan sebagai pemenang Hadiah Utama peraduan Nestlé Gaji Seumur Hidup.


Menurut Amirrul, kemenangan ini mengubah kehidupan beliau sekeluarga dan banyak mengajarnya untuk lebih bersyukur.


Amirrul turut berkongsi kegembiraan bahawa isterinya bakal melahirkan anak pertama mereka pada September dan kemenangan ini pastinya membantu beliau membuat persediaan bagi menyambut kelahiran.


Ditanya mengenai perancangannya selepas ini, Amirrul berkata dia berhasrat menunaikan impian kedua ibu bapa dan mentuanya untuk menunaikan umrah dan merancang berkongsi rezeki tersebut untuk membantu golongan kurang berkemampuan serta anak yatim.


Ringankan beban


Seorang lagi pemenang Hadiah Utama Peraduan Nestlé Gaji Seumur Hidup, Wong Chee Soon, 40, pula berkata kemenangan ini sangat mengejutkan dan bermakna untuk dirinya. Pemenang Hadiah Utama, Wong Chee Soon, dari Subang Jaya, Selangor, gembira menerima 'Gaji Seumur Hidup' sebanyak RM3,000 setiap bulan.


Tambah Wong lagi, beliau menghantar hampir 10 penyertaan setiap kali membeli produk Nestlé dan sentiasa mengharapkan kemenangan ini.


Sebagai satu-satunya pencari nafkah dalam keluarga, Wong meluahkan rasa gembira kerana beliau yakin bahawa kehidupannya dan keluarga pasti menjadi lebih baik selepas ini.


Wong turut memberitahu Harian Metro bahawa hadiah 'Gaji Seumur Hidup' akan dibelanjakan untuk tujuan pendidikan anak-anak di samping merealisasikan impian keluarganya.


Peluang beramal


Selain hadiah 'Gaji Seumur Hidup', Nestlé turut memberi peluang kepada finalis Gaji Seumur Hidup untuk menyumbang kepada masyarakat dengan mencalonkan pertubuhan amal pilihan masing-masing.


Sebanyak 17 pertubuhan amal dicalonkan oleh setiap finalis dengan jumlah keseluruhan sumbangan bernilai RM684,000.


Mengulas mengenai keputusan Nestlé untuk menyalurkan hadiah kepada pertubuhan amal, Ketua Pegawai Eksekutif, Nestlé (Malaysia) Berhad, Juan Aranols berkata, Nestlé, komited membawa perubahan positif dalam masyarakat.


"Tahun ini, dengan begitu ramai orang yang terkesan dengan Covid-19, kami rasa komitmen ini lebih diperlukan sekarang. Kami harap inisiatif ini akan mendorong lebih ramai orang untuk menabur bakti kepada masyarakat dan membantu pada saat ramai keluarga yang memerlukan," katanya.


Pertubuhan Tindakan Wanita Islam (PERTIWI) yang dicalonkan oleh Amirrul dan Yayasan Amal Malaysia, yang dicalonkan oleh Wong, terpilih sebagai pemenang dan masing-masing menerima RM72,000 daripada Nestlé.


Apabila ditanya mengenai pencalonan tersebut, Amirrul berkata idea awal untuk memilih pertubuhan PERTIWI adalah datang daripada isterinya.


Tambah Amirrul, PERTIWI banyak menyalurkan bantuan tanpa mengira kaum, agama dan bangsa membabitkan pelbagai program seperti Dapur Mesra PERTIWI, Perkhidmatan Kesihatan PERTIWI, Kasih PERTIWI dan projek anak angkat.


Bagi Wong pula, beliau berharap sumbangan kepada Yayasan Amal Malaysia akan membawa perubahan positif dalam hidup insan lain, seperti yang dilakukan oleh Nestlé untuk dirinya dan keluarga.


Lebih satu juta penyertaan


Selari dengan hasrat syarikat itu untuk menyumbang kepada seluruh genap lapisan masyarakat, Peraduan Nestlé Gaji Seumur Hidup menerima lebih satu juta penyertaan, menjadikan ia peraduan terbesarnya setakat ini.


Semua 16 finalis Peraduan Nestlé Gaji Seumur Hidup mempamerkan hadiah mereka, disertai oleh [barisan depan, tengah] Encik Juan Aranols, Ketua Pegawai Eksekutif, Nestlé (Malaysia) Berhad.


Lebih 850 rakyat Malaysia memenangi hadiah wang tunai lebih daripada RM4 juta menerusi keseluruhan Peraduan Nestlé Gaji Seumur Hidup. Peraduan Nestlé ini telah berlangsung dari 14 Februari hingga 31 Mei 2020.


Ini termasuk hadiah mingguan RM500 setiap satu, kepada 100 pemenang 'Gaji Satu Bulan', 15 pemenang 'Gaji Satu Tahun', dan dua pemenang Hadiah Utama 'Gaji Seumur Hidup' RM3,000 setiap bulan.



Sumber: Harian Metro

0 views0 comments
COntact us
  • Grey Twitter Icon
  • Grey Facebook Icon
  • Instagram

© 2020 by The Pillar News.