'Durian mahal, jadi saya jual mercun, bunga api'



TINDAKAN seorang lelaki menjual bunga api dan mercun secara terbuka di tepi jalan di Taman Nuri, Jalan Datuk Kumbar, Alor Setar mengundang padah apabila dia ditahan polis, semalam.


Lelaki berusia 37 tahun itu ditahan pada 7 malam ketika sedang menunggu pelanggan di kawasan itu.


Turut ditemui sejumlah mercun dan bunga api dalam beberapa kotak di belakang but kereta Proton Wira miliknya selain sebahagian lagi di tempat duduk belakang kenderaan itu.


Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Mohd Rozi Jidin berkata, ketika ditahan dia memberi alasan hendak mencari wang lebih kerana tidak dapat berniaga durian yang menjadi punca pendapatannya sebelum ini kerana harganya mahal.


Malah, dia turut memberi alasan hendak menghabiskan stok mercun dan bunga api itu yang dibeli sejak Tahun Baru Cina untuk mengelakkan kerugian.


"Lelaki itu ditahan mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan dan Kakisan 1957.

"Kesemua mercun dan bunga api yang dirampas dianggarkan bernilai RM7,000," katanya hari ini.


Menurutnya, siasatan mendapati, lelaki itu pernah terbabit dalam kegiatan penjualan mercun sebelum ini.


"Penjualan mercun perlu mendapat permit dari polis namun setakat ini tiada permohonan dibuat untuk penjualan mercun tahun ini," katanya.


Mohd Rozi berkata, ini adalah kes pertama membabitkan tangkapan mercun ketika Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ketika musim perayaan.


Beliau berkata, pihaknya akan menahan sesiapa yang didapati menjual atau bermain mercun di daerah ini sekiranya memperoleh maklumat.



Sumber: Harian Metro

0 views0 comments