Elak Malaysia terhimpit konflik kuasa besar di Laut China Selatan



KUALA LUMPUR: Malaysia harus membuat pertimbangan sewajarnya agar tidak terheret di tengah-tengah konflik kuasa besar antara Amerika Syarikat (AS) dan China berhubung pertikaian diplomatik di Laut China Selatan.


Jika negara ini melibatkan diri dalam konflik peperangan pada ketika Malaysia sudah menjalinkan hubungan diplomatik dengan kedua-dua negara tersebut, ia tidak memberi sebarang manfaat sebaliknya hanya menjejaskan pertumbuhan ekonomi negara.


Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, adalah lebih baik negara ini terus meletakkan diplomasi sebagai keutamaan bagi menyelesaikan semua isu dan mengelak daripada menjadi mangsa keadaan meskipun ketegangan yang berlaku dilihat mengancam kedaulatan negara.


“Kita tetap dengan prinsip ASEAN iaitu aman, bebas dan berkecuali. Itu yang kita kekalkan. Dari aspek sistem pertahanan, kita (kerajaan) tidak boleh terlibat apabila berlaku ketegangan. Jika terlibat, keadaan hanya akan menjadi lebih tegang.


“Jadi, selama ini, Kementerian Luar yang akan menggunakan budi bicara dan pengalaman untuk berdiplomasi supaya menyeimbangkan antara dua kuasa besar yang bagi saya, kalau kita tersilap langkah, kita hanya mengundang kehadiran mereka.


“Ada negara luar yang meminta untuk meletakkan pesawat mereka dalam negara tetapi kita tidak benarkan, ada yang mahu melabuhkan kapal selam nuklear dalam negara tetapi juga tidak dibenarkan,” katanya dalam program bicara naratif bertajuk Setahun Malaysia Prihatin: Pencapaian Kementerian Pertahanan yang disiarkan menerusi saluran televisyen kerajaan di sini malam ini.


Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berkenaan sistem pertahanan negara ini yang perlu dikukuhkan akibat ancaman kemasukan pendatang asing memasuki perairan negara yang dilihat menjejaskan keamanan negara.


Konflik dan pertikaian di Laut China Selatan sudah berlangsung sejak sekian lama ekoran tuntutan China ke atas gugusan pulau di kawasan berkenaan yang dilihat mencetuskan ketegangan di Asia Tenggara.


Februari lalu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin berkata, isu tuntutan maritim di perairan Laut China Selatan dan kaedah penyelesaiannya perlu dibuat secara aman berdasarkan prinsip undang-undang antarabangsa yang diiktiraf sejagat termasuk Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Undang-Undang Laut 1982 (UNCLSO).


Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, kementerian sedang mengumpulkan senarai pemain industri tempatan sebagai persediaan menjadikan rakyat negara ini sebagai pengeluar industri pertahanan.


“Memang ini menjadi tumpuan. Pada peringkat ini kita sudah mulakan misalnya kereta berperisai. Malah baru-baru ini juga ada anak muda Melayu yang mengeluarkan kereta perisai sendiri yang mana 70 peratus adalah buatan Malaysia.


“Kita boleh jadi pengeluar malah kita sudah ada Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) yang mengeluarkan graduan-graduan dalam bidang kejuruteraan dan berkait dengan industri pertahanan,” katanya.



– UTUSAN ONLINE

3 views0 comments