Elak 'tukar jantina' menerusi aplikasi wajah



GOMBAK: Tindakan menukar wajah kepada jantina berbeza walaupun sekadar dalam bentuk gambar adalah sesuatu yang tidak wajar dilakukan umat Islam.


Perbuatan itu sebaiknya dielakkan sama sekali, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.


Beliau berkata meskipun manusia pada masa ini mencapai kemajuan dengan teknologi serba canggih, merubah ciptaan Allah walaupun bukan secara langsung pada fizikal disifatkan beliau sebagai tindakan yang tidak baik.


Malah katanya, tindakan itu antara lain boleh menjatuhkan maruah serta mewujudkan manipulasi dalam keadaan tidak benar terhadap sebaik-baik ciptaan Allah.


"Sebab itu, jika kita lihat, setiap manusia yang hidup mempunyai nama masing-masing untuk membezakan antara satu sama lain termasuklah dari segi jantinanya.


"Apabila wajah ditukar apatah lagi lelaki 'diperempuankan' atau sebaliknya, konsep yang sepatutnya di mana kita kenal identiti manusia itu akan berubah," katanya.


Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditanya mengenai aplikasi menukar wajah kepada jantina lain yang 'trending' di media sosial kebelakangan ini.


Dr Zulkifli berkata Allah menciptakan manusia dengan menyatakan "Kami ciptakan manusia ini sebaik-baik kejadian" maka sebab itu tindakan berkenaan dilihat seperti melanggar etika kemanusiaan.


"Allah sebutkan dalam al-Quran 'dan Kami telah muliakan keturunan anak Nabi Adam' yang mana kalimah itu memberi makna banyaknya kelebihan manusia dari segi akalnya, wajahnya, jadi, walaupun sekadar gambar atau video, elakkanlah.


"Dari sekeping wajah manusia, tuhan cipta riak marah, suka, sedih menggunakan wajah yang sama, betapa luar biasanya ciptaan ini, berbanding kambing, lembu dan sebagainya yang tidak pula Allah berikan kelebihan ini," katanya.


Terdahulu, Dr Zulkifli hadir ke Majlis Pelancaran Tabung Wakaf Tunai Pusat Hemodialisis MAIWP-PICOMS dan Majlis Pelancaran Program Profesional Tahfiz PICOMS di Dewan Besar PICOMS Batu Muda di sini, hari ini.


Majlis itu menyaksikan kerjasama erat antara Agrobank dan PICOMS bagi melancarkan projek wakaf tunai bagi pembelian mesin dialisis bagi kegunaan tiga Pusat Hemodialisis MAIWP-PICOMS di sekitar Kuala Lumpur.


Dr Zulkifli berkata, Agrobank yang juga institusi perbankan Islam sepenuhnya sejak 2015 akan menggerakkan 138 cawangannya di seluruh negara serta perbankan internetnya bagi mengutip dana berjumlah RM600,000 untuk menjayakan projek itu.


"Saya difahamkan, pusat hemodialisis ini mampu menempatkan seramai 243 pesakit yang mana majoritinya terdiri daripada golongan asnaf yang mendapat tajaan pihak baitulmal dan organisasi lain seperti Jabatan Perkhidmatan Awam serta Pusat Zakat Selangor MAIS (Majlis Agama Islam Selangor).

1 view0 comments