Episod sedih keluar hospital




Kuala Lumpur: Siapa sangka di sebalik tubuh sasa, jaguh baling tukul besi negara, Jackie Wong adalah atlet pertama negara disahkan positif Covid-19 pada awal tahun ini.


Malah, Jackie terpaksa berkampung di Hospital Sibu, Sarawak selama 73 hari dan ketika dibenarkan keluar, ujian saringan calitan yang dilakukan terhadapnya masih lagi positif.


Namun, berdasarkan protokol baharu Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), pesakit dibenarkan pulang selepas 14 hari menerima rawatan.


Walaupun keputusan masih positif, namun virus itu tidak boleh menjangkiti orang lain selepas tempoh dua minggu.


Bermulalah episod yang tidak disangka dalam kehidupannya kesan daripada pandemik itu apabila orang ramai memberi komen, malah ada juga yang mengutuk.


Mereka mempersoalkan bagaimana Jackie dibenarkan keluar dari hospital biarpun ujian calitan terhadapnya positif sehingga satu ketika dirinya berasa seperti dipulaukan.


Keadaan itu secara tidak langsung amat memberi kesan terhadapnya hingga ada ketika dia seperti hilang sabar, tertekan dan juga hampir patah semangat.


Mujur, kekuatan semangat membuatkan dia bangkit menghadapi semua rintangan itu biarpun sebenarnya bukan mudah untuk menghapuskan persepsi negatif masyarakat terhadap Covid-19.


Jackie berkata, cabaran paling besar dihadapinya bukan keraa dijangkiti Covid-19, tetapi kejadian yang berlaku selepas dia keluar dari hospital.


"Ada satu masa ketika pergi makan di satu tempat, saya diberi pinggan plastik dan sudu plastik. Pada mulanya saya ingat ia norma baharu, tapi saya mula berasa sesuatu apabila melihat pelanggan lain menggunakan pinggan dan sudu biasa.


"Bukan itu saja, ketika mahu menaiki lif dan pada masa itu ada beberapa orang turut sama menunggu, tetapi hanya saya seorang yang masuk ke dalam lif walaupun bukan saya yang menekan butang lif itu.


"Namun saya berkata dalam hati. Ayah, ibu dan ahli keluarga saya semua sihat. Kenapa perlu risau benda (virus) yang kecil itu. Tak perlu sedih perkara yang remeh seperti itu," katanya.


Ahli keluarga terutama ibu, abang dan bapanya menjadi sumber kekuatan kepada pemegang rekod kebangsaan acara baling tukul besi untuk bangkit kembali menempuhi kehidupan.


Masih lagi bermain di kepala Jackie gurauan abang sulungnya ketika dia berada di hospital.


Abangnya berkata, mungkin kerana dia terlalu banyak 'dosa', sebab itu Tuhan tidak lagi memberikan dia kesembuhan dan perlu lebih lama berada di hospital untuk membersihkan dosa-dosa.


"Ada satu ketika saya seperti sudah kehilangan kekuatan. Saya tidak percaya agama. Memikirkan keadaan ayah yang ketika itu kritikal. Tapi mujur abang yang turut disahkan positif menasihatkan saya supaya terus kuat.


"Saya dibenarkan untuk melawat ayah, bercakap dengan dia (ayah) biarpun ketika itu dia hanya boleh menggerakkan jari kerana masih lagi koma.


"Selepas itu, saya isi masa lapang dengan membuat latihan,

membaca kitab, melihat perkembangan ayah dari tingkap dan membuat panggilan video dengan jurulatih dan melakukan apa saja aktiviti untuk menghilangkan kebosanan," katanya.


Atlet berusia 28 tahun itu yang dimasukkan ke wad pada awal pagi 16 Mac lalu berkata, apa yang ditempuhi sepanjang tahun ini adalah satu pengalaman berguna biarpun ia bukan memori indah.


Jackie, pemegang rekod kebangsaan acara baling tukul besi lelaki dengan balingan sejauh 68.22 meter, meraih pengiktirafan tersendiri apabila berjaya memecahkan rekod kebangsaan sebanyak 17 kali.


Jackie dijangkiti virus itu ketika beliau melawat bapanya yang juga Ahli Parlimen Sarikei, Wong Ling Biu di Sarikei pada 11 Mac lalu, yang dipercayai menghidap jangkitan kuman pada paru-paru.



Sumber: Harian Metro

0 views0 comments

Recent Posts

See All
COntact us
  • Grey Twitter Icon
  • Grey Facebook Icon
  • Instagram

© 2020 by The Pillar News.