FAM buat keputusan tepat batal 3 pertandingan



KUALA LUMPUR: Pakar perubatan dan ahli akademik menganggap Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengambil langkah tepat apabila membatalkan saingan Piala Presiden, Piala Belia dan Liga Futsa Premier Malaysia (MPFL) akibat penularan pandemik COVID-19.


Presiden Persatuan Perubatan Sukan Malaysia, Prof Madya Dr Abdul Halim Mokhtar, menyifatkan keputusan badan induk berkenaan menepati tatacara operasi standard Majlis Keselamatan Negara (MKN).


Beliau yang juga Pensyarah Kanan Perubatan Sukan, Fakulti Perubatan Universiti Malaya berkata, isu utama mendorong kepada pembatalan itu adalah kesukaran melaksanakan garis panduan ketat untuk kejohanan yang dianjurkan secara terbuka.


"Kami percaya ini menjadi asas pertimbangan FAM dengan mengambil kira Piala Presiden dan Piala Belia diadakan di padang terbuka. Sukar untuk menyediakan satu ruang yang selamat buat semua pemegang taruh, pemain, pasukan, pegawai dan petugas perlawanan.


"SOP (prosedur operasi standard) MKN juga jelas mengkategorikan bola sepak sebagai sukan bersentuhan dan tidak dibenarkan diadakan ketika ini, kecuali dalam bentuk tiada sentuhan secara langsung," kata Abdul Halim.


Semalam, Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam mengumumkan pembatalan pertandingan Piala Presiden, Piala Belia dan Liga Futsal Premier Malaysia (MPFL) musim ini akibat COVID-19 selepas


Keputusan berkenaan dibuat selepas melakukan kajian, penelitian dan siri perbincangan dalaman, selain memperhalusi garis panduan dan Prosedur Operasi Standard (SOP) serta nasihat dan pandangan daripada Kementerian Kesihatan (KKM).


Dalam pada itu, bekas Ketua Pegawai Eksekutif Institut Sukan Negara (ISN), Datuk Dr Ramlan Abdul Aziz turut menyokong keputusan FAM dengan melihatnya dari sudut perubatan.


"Bagi saya, keputusan ini boleh dilihat bertujuan melindungi kepentingan dan kesihatan umum. Paling utama, kita tidak mahu mendedahkan golongan pemain remaja dan belia terhadap ancaman COVID-19.


"Walaupun mereka tidak dianggap berisiko tinggi untuk mengalami gejala teruk serta mempunyai tahap kesihatan yang lebih baik berbanding kumpulan umur yang lebih lanjut dan berpenyakit, ada kemungkinan jika dijangkiti, mereka boleh menjadi pembawa jangkitan kepada ahli keluarga mereka yang lebih berusia dan berisiko tinggi.


"Berbanding SOP yang ketat jika dilaksanakan dalam stadium di peringkat Liga Super dan Liga Perdana, suasana di venue Piala Presiden dan Piala Belia yang rata-rata diadakan di padang terbuka boleh menimbulkan kesukaran untuk mengawal selia keadaan," katanya.


Sementara itu, Pensyarah Kanan Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi UiTM Shah Alam, Sadek Mustaffa, pula percaya ruang alternatif yang disediakan oleh FAM boleh menampung impak pembatalan saingan peringkat umur dan futsal.


"Secara realitinya, pembatalan tiga pertandingan kelolaan FAM ini meringankan beban kewangan pasukan terbabit di saat semua pihak terjejas akibat COVID-19. Tetapi ini bukan alasan utama.


"Disebabkan kekangan yang ada, adalah wajar untuk FAM mengambil keputusan sebegini. Namun pada masa yang sama, kita tidak mahu pemain menjadi mangsa akibat keputusan ini.


"Wang sagu hati atau pampasan wajib dilunas oleh majikan seperti yang digariskan oleh FAM seandainya kontrak pemain ditamatkan kerana persatuan atau kelab sudah menjimatkan kos pengurusan seperti penginapan dan logistik susulan pembatalan saingan," katanya.



Sumber: Berita Harian

1 view0 comments