Farid Kamil harap ada sinar untuknya



"SAYA harapkan satu yang baik untuk masa depan saya," kata pelakon dan pengarah popular, Datuk Farid Kamil mengenai hukuman penjara terhadapnya pada 2 Jun lalu.

Pada prosiding yang dibuat di Mahkamah Majistret Petaling Jaya itu, Farid dihukum penjara 13 bulan kerana menggunakan kekerasan jenayah dan mengeluarkan perkataan tidak sopan terhadap seorang anggota polis dengan niat untuk menghalangnya melakukan tugas, dua tahun lalu.


Mahkamah turut memerintah pelakon filem Tombiruo: Penunggu Rimba itu membayar kos pendakwaan sebanyak RM5,000 atau menjalani hukuman penjara enam bulan jika gagal membayar kos berkenaan.


Bagaimanapun, mahkamah membenarkan Farid menangguhkan pelaksanaan hukuman itu dengan jaminan RM10,000 bersama seorang penjamin sementara peguamnya memfailkan rayuan.


Bercakap secara eksklusif kepada Harian Metro ketika ditemui di lokasi penggambaran drama Pelindung Seorang Isteri di Sungai Buloh, Farid berkata, perbicaraan membabitkan dirinya sejak 2018 itu sedikit sebanyak membuatkan dirinya terganggu.


"Saya sudah menjalani kehidupan seumpama itu hampir dua tahun, lebih 600 hari. Saya rasakan ia sudah menjadi sebahagian daripada apa saya lalui. Proses-proses itu boleh mematangkan saya dari segi kehidupan.


"Saya tak boleh nafikan kadang-kadang ia mengganggu dan membantutkan proses perancangan kerjaya seni saya.Namun, apa boleh buat dan saya reda dengan ketentuan Allah SWT," katanya yang kini dalam proses rayuan di Mahkamah Tinggi.


Farid yang juga suami kepada pelakon, Datin Diana Danielle berkata, kehidupan mereka bahagia di samping dua cahaya mata iaitu Muhammad dan Aurora.


"Dari segi perancangan keluarga itu rezeki Allah. Kita sentiasa berharap, Allah tentukan. Saya bahagia dengan keluarga dengan dua anak yang sangat menghiburkan kehidupan saya sepanjang tujuh tahun ini.


"Saya bersyukur sangat dengan kehidupan sekarang. Alhamdulillah, perkembangan anak saya membesar dengan sangat positif. Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) baru-baru ini memberi impak berbeza kepada silaturahim dalam keluarga.


"Waktu itulah buat kali pertamanya kami empat beranak luangkan masa bersama hampir dua bulan tanpa ada gangguan orang luar. Saya lihat ia dari sudut positif kerana memberi ruang kepada kami sebagai ibu bapa untuk mendalami perasaan ketika anak-anak sedang membesar.


"Muhammad terlalu dekat dengan saya dan itu kekurangan dia dan Aurora juga ada kelemahan dia. Jadi, di situ saya ambil sebagai satu rahmat dan dijadikan sebagai pedoman untuk masa depan. Kami memilih duduk di rumah dengan menelaah buku-buku dan mendekati perasaan masing-masing secara dekat. Perkara ini susah nak dapat tanpa adanya PKP itu. Jadi saya bersyukur," katanya.


Bercerita mengenai drama Pelindung Seorang Isteri, Farid berkata, ia sudah tertunda lebih 100 hari sejak pelaksanaan PKP pada 18 Mac lalu.


Drama yang bakal ditayangkan di saluran Astro Ria itu menggandingkan Farid dengan Lisa Surihani dan mendapat sentuhan pengarah, Yusry Abdul Halim.




Sumber: Harian Metro

0 views0 comments