Fasa pertama e-census mesra teknologi, tumpu kawasan kemudahan internet tinggi


PUTRAJAYA, 6 Julai -- Fasa pertama pelaksanaan Bancian Penduduk dan Perumahan Malaysia 2020 (Banci 2020), secara dalam talian atau e-Census bermula Selasa ini sehingga 30 Sept, bersifat mesra teknologi dan bertepatan dengan keadaan semasa negara yang masih berdepan dengan ancaman COVID-19. 

Pesuruhjaya Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia 2020 Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata kira-kira tiga juta isi rumah dipilih bagi mengisi bancian melalui e-Census, merangkumi mereka yang tinggal di kawasan ketersambungan tinggi dan mempunyai capaian internet, memandangkan kemudahan itu penting bagi mengisi maklumat.


“Banci dilakukan setiap 10 tahun jadi pastinya elemen yang berbeza daripada tahun 2010 ialah tahap literasi dan juga kesediaan rakyat Malaysia hendak menerima kaedah e-Census ini. 

“Kawasan luar bandar kita akan fokus pada bulan Oktober nanti (fasa kedua secara bersemuka). Sebab itu kita tak boleh jalankan e-Census sepenuhnya. "Ia tertumpu kepada kawasan yang ketersambungan tinggi seperti bandar dan luar bandar yang ada kemudahan internet,” katanya yang menjelaskan persediaan Banci 2020 termasuk e-Census sudah bermula seawal 2017 lagi. 


Beliau berkata demikian dalam temu bual di pejabatnya di Jabatan Perangkaan Malaysia di sini baru-baru ini sempena Hari Banci Malaysia yang akan dilancarkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin esok di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).

Mohd Uzir yang juga Ketua Perangkawan berkata setelah mendapat kelulusan kerajaan pada 2017 bagi melaksanakan Banci 2020 dan memenuhi Akta Banci 1960 (disemak 1969), penyenaraian dan gerak kerja oleh anggota Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) dilakukan di setiap negeri bagi mengemas kini senarai rumah di seluruh Malaysia, termasuk kawasan kediaman baharu. 

Katanya, hasil daripada gerak kerja itu, sejumlah sembilan juta kediaman disenaraikan, termasuk tiga juta isi rumah yang akan mengisi maklumat bancian menerusi kaedah e-Census. 


“Mereka (anggota DOSM) akan kemas kini atau dalam bahasa statistik dipanggil ‘listing’. Dan kita lihat juga kawasan perumahan baharu, sama ada akan siap pada 2020, tidak kira sama ada perumahan itu diduduki atau tidak. 

“Jadi (untuk) perhubungan kita telah berjaya menyenaraikan lebih kurang sembilan juta rumah yang ada di Malaysia ini. Kita dah selesai, jadi bila kita laksanakan e-Census, senarai semua rumah itu sudah ada dalam sistem,” katanya. 

Menyentuh mengenai cabaran pelaksanaan e-Census, Mohd Uzir menasihatkan penduduk yang terpilih mengisi maklumat secara dalam talian itu memanfaatkan tempoh tiga bulan yang diperuntukkan bagi mengisi borang berkenaan dengan jujur dan telus. 

Katanya, mereka juga boleh menyimpan maklumat jawapan tanpa perlu menjawab kesemua 106 soalan secara terus pada satu-satu masa dan hanya menghantar borang bancian apabila sudah pasti dan selesai menjawab kesemua soalan. 

“Kita minta supaya bila melaksanakan e-Census mereka tidak (mengisi soal selidik) pada saat akhir (kerana) akan ada kesesakan, sistem tergendala dan sebagainya. Apabila melaksanakan e-Census ini mungkin ada kekurangan contohnya sesetengah kawasan itu kepadatan tinggi, internet akan (menjadi) sedikit perlahanlah. 

“Sebab itu kita beri masa panjang, tiga bulan. Bagusnya e-Census, kita boleh simpan dulu dan boleh kembali semula untuk sambung (mengisi borang). Bila dah puas hati, lega dan fikir ini adalah masa depan diri dan anak-anak barulah tekan 'hantar'. Kita selalu ingatkan ‘data anda adalah masa depan kita’,” katanya. 

Setiap isi rumah yang bakal mengisi e-Census akan menerima poskad yang disertakan nombor identiti masing-masing dan dikehendaki memasukkan nombor tersebut apabila mendaftar masuk e-Census.

Tarikh penghantaran poskad kepada isi rumah yang akan mengisi e-Census adalah pada Isnin ini hingga 24 Julai dan bagi mereka yang ingin memohon untuk mengisi e-Census dikehendaki membuat prapendaftaran bermula Isnin ini hingga 23 Sept. 

“Dengan pandemik COVID-19, kita buat penyesuaian dengan memanjangkan tempoh e-Census sehingga 30 Sept, kemudian baru kita pergi (mengikut cara) konvensional iaitu (banci) bersemuka, dengan harapan semasa konvensional itu, pandemik yang berlaku ini dah semakin berkurangan, terkawal dan diatasi dengan baik," katanya. 

Pelaksanaan Banci 2020 yang melibatkan 32.7 juta penduduk Malaysia akan dilaksanakan dalam dua fasa bermula Selasa ini hingga 30 Sept menerusi e-Census, manakala fasa kedua akan bermula pada 7 hingga 24 Okt dengan kaedah temu ramah bersemuka.

Adalah menjadi kesalahan di bawah Akta Banci 1960 (pindaan 2006) sekiranya seseorang yang dibanci enggan menjawab dengan benar, memberikan jawapan palsu, menyerahkan pernyataan atau penyata palsu dan mengabaikan peraturan di bawah akta itu.

Sabit kesalahan di bawah akta berkenaan boleh didenda tidak melebihi RM100 atau penjara tidak melebihi enam bulan atau kedua-duanya.  -- BERNAMA




Sumber: Bernama

0 views0 comments