Gejala awal penyakit MG



JANGAN ambil mudah jika mendapati kelopak mata anda jatuh. Segera berjumpa pakar neurologi bagi mendapatkan rawatan selanjutnya. Ini kerana berkemungkinan anda mengalami gejala paling awal menghidap penyakit 'myastenia gravis' (MG).


MG ialah gangguan autoimun (disebabkan oleh tindakan antibodi terhasil sebagai tindak balas terhadap bahan biasa terdapat dalam badan) yang agak jarang berlaku, berpunca kegagalan penghantaran impuls dari hujung saraf ke otot menyebabkan otot lemah dan mudah letih.


Pakar Perubatan Dalaman dan Neurologi, Dr Kok Chin Yong berkata, kelopak mata jatuh ini adalah gejala awal penyakit MG yang membabitkan bahagian otot muka dan tekak.


"Ia (kelopak mata jatuh) kebiasaannya berlaku pada salah satu mata sebelum terjadi ke kedua-duanya.


"Malah ia boleh menyebabkan penglihatan berganda kerana otot yang mengawal pergerakan mata terjejas," katanya.


Beliau berkata, sekiranya penyakit ini mula merebak ke bahagian otot yang mengawal proses menelan berkemungkinan boleh menjejaskan keupayaan pesakit untuk mengunyah makanan.


"Kesan yang lain ialah pertuturan terganggu apabila suara boleh menjadi kurang jelas. Selain itu, ekspresi wajah mungkin berubah dan berkurang.


"Jika otot badan pula terjejas, individu akan merasai kesukaran untuk melakukan aktiviti mudah seperti menyikat rambut atau menjemur pakaian," katanya.


Namun, Dr Kok berkata, pesakit sering mendapati gejala dialami mereka lebih ketara selepas melakukan aktiviti harian dan kebiasaan lebih pada waktu petang.


"Bagaimanapun, gejala dialami setiap pesakit berbeza dan kebiasaannya menjadi lebih teruk selepas melakukan aktiviti yang berterusan," katanya.


Kajian di Jepun dan Hong Kong menunjukkan, kes baharu penyakit MG yang dikesan di negara terbabit ialah lima kes dalam populasi sejuta penduduk setiap tahun.


Satu lagi kajian di Korea Selatan mendapati, terdapat peningkatan jumlah pesakit MG terutama dalam kalangan lelaki berusia.


Kata Dr Kok, penyakit ini boleh dialami sesiapa saja tanpa mengira usia, tetapi berisiko kepada wanita berusia 20 hingga 30 tahun manakala lelaki antara usia 50 hingga 60.


"Tidak ramai yang mengetahui warga emas lebih berisiko menghidap penyakit ini terutama lelaki kerana kurang kesedaran dan tidak mengetahui gejala itu dengan lebih khusus," katanya.


Menurutnya, perubahan gaya hidup boleh membantu mengawal gejala daripada menjadi lebih teruk. Langkah pertama, pesakit perlu mengamalkan tidur berkualiti dan cara pemakanan sihat.


"Sesetengah pesakit mendapati senaman tai chi dan meditasi boleh membantu mengawal gejala MG.


"Pesakit perlu sentiasa memberitahu doktor mengenai penyakit MG dihidapi mereka, jika mendapatkan rawatan lain di hospital.


"Ini kerana ada lebih 30 jenis ubat yang boleh memburukkan gejala MG termasuk ubat antibiotik dan ubat darah tinggi," katanya.


Katanya, cahaya kuat matahari juga boleh menyebabkan gejala penyakit itu bertambah teruk. Oleh itu, pesakit digalakkan memakai kaca mata hitam pada waktu siang.



Sumber: Harian Metro

0 views0 comments
COntact us
  • Grey Twitter Icon
  • Grey Facebook Icon
  • Instagram

© 2020 by The Pillar News.