Generasi muda FELDA Chini mahu lebih banyak peluang pekerjaan


PEKAN: Pembangunan ekonomi di FELDA Chini yang majoriti penduduknya generasi kedua dan ketiga peneroka boleh ditingkatkan dengan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan seperti sektor perkilangan dan perkhidmatan.


Perancangan jangka masa sederhana dan panjang itu diperlukan sekali gus mengelak mereka daripada berhijrah dan mencari pekerjaan di luar sama ada di Kuantan, Segamat dan Muadzam Shah, Rompin.


Menerusi pembukaan kilang, pasar raya, premis perniagaan membolehkan mereka memberi sumbangan bagi menjana ekonomi tempatan di tanah rancangan itu yang mula dibuka sejak 1971.


Pemimpin dan usahawan tempatan berpendapat bahawa pelbagai pihak termasuk kerajaan negeri wajar membantu golongan belia tempatan termasuk menyediakan premis perniagaan dengan kadar sewa mampu milik.


Ramai generasi muda tanah rancangan itu termasuk wanita menjalankan perniagaan secara dalam talian atau berniaga barangan kosmetik, bahan makanan, menjahit, andaman dan bengkel kenderaan.


Usahawan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS), Budi-Harnalies Muhd Ali, 42 dari FELDA Chini 4, berkata ada juga generasi kedua dan ketiga FELDA itu yang berulang alik setiap hari kerana bekerja dalam sektor perkilangan dan perindustrian sama ada di Kuantan, Muadzam Shah, Rompin dan Segamat.


"Jika lebih banyak peluang pekerjaan seperti premis perniagaan dibuka termasuk mendapat latihan kemahiran maka lebih ramai generasi muda di tanah rancangan berpeluang menambah pendapatan dengan menjalankan perniagaan yang diminati.


"Bagaimanapun, pelbagai pihak perlu sedar bahawa kadar sewa premis perniagaan di sini tidak boleh disamakan dengan di luar tanah rancangan ini kerana ia akan menyukarkan belia untuk menyewa dan mengurangkan minat mereka menceburi bidang perniagaan," katanya di sini, hari ini.

Budi juga berkata, masyarakat di situ juga meminta perkhidmatan mesin pengeluaran wang tunai (ATM) ditambah bagi memenuhi keperluan penduduk di situ kerana terpaksa mengeluarkan kos tambahan untuk berulang alik sama ada ke Pekan, Kuantan atau Muadzam Shah untuk membuat transaksi kewangan.


Katanya, ketika ini hanya terdapat satu ATM di dalam tanah rancangan itu dan pastinya akan menyulitkan keadaan dalam melakukan urusan harian jika perkhidmatannya tergendala.


"Memang ramai yang boleh membuat transaksi kewangan secara dalam talian tetapi jika dalam keadaan kecemasan memang kita perlukan tambahan perkhidmatan ATM di dalam FELDA ini," katanya.


Bagi pemimpin tempatan pula, Jaafar Ishak, 74, berkata sudah tiba masanya bank dibuka di tanah rancangan itu bagi menampung permintaan penduduk yang semakin bertambah.


"Sebelum ini, kita perlu menempuh perjalanan lebih 40 kilometer ke Pekan atau 90 kilometer ke Kuantan semata-mata untuk berurusan di bank dan ini pastinya memerlukan kita keluarkan modal untuk isi minyak kenderaan dan sebagainya.


"Kami juga mahu kemudahan pejabat pos, balai polis dan balai bomba di tanah rancangan ini dipertingkatkan sejajar dengan perkembangan semasa.


"Pada masa sama, wajar dibina lebih banyak kilang PKS, rumah kedai untuk memberi peluang generasi kedua dan ketiga bekerja," katanya.


Selain itu, Jaafar berkata, penduduk di situ juga memerlukan pasar raya yang bukan sahaja menyediakan lebih banyak pilihan barangan keperluan tetapi juga dapat memasarkan produk makanan diusahakan penduduk tempatan.


"Ia juga dapat menyediakan peluang pekerjaan kepada generasi muda. Kehadiran pasar raya di FELDA ini memang dialu-alukan tetapi dengan syarat mereka perlu membantu menjual dan memasarkan produk keluaran penduduk tempatan," katanya.

Kakitangan awam, Mohd Faizal Ibrahim, 36, dari FELDA Chini 1 pula berkata, ramai generasi kedua dan ketiga mencari peluang pekerjaan di luar tanah rancangan itu dan mereka pastinya berminat untuk kembali bekerja dan menetap di situ jika mempunyai lebih banyak peluang pekerjaan.


"Selepas menamatkan pelajaran, ada yang berhijrah ke bandar Kuantan, Lembah Klang, Segamat, Johor untuk mencari pekerjaan. Mereka mungkin terus tinggal di tanah rancangan jika ada peluang pekerjaan kerana mereka tidak perlu menanggung kos sara hidup tinggi di bandar besar.


"Malah, program berkaitan meningkatkan kemahiran belia juga perlu diberi perhatian demi kebajikan golongan berkenaan sekali gus dapat menceburi bidang perniagaan untuk membantu menaik taraf keluarga masing-masing," katanya.


Pekerja swasta, Mohd Noor Khairul Abidin, 40, dari FELDA Chini 5 pula berkata liputan internet syarikat telekomunikasi di FELDA itu perlu dipertingkatkan memandangkan semakin ramai belia yang mengusahakan perniagaan secara dalam talian.


"Ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak Mac lalu, ada kalanya liputan internet rangkaian daripada syarikat telekomunikasi terjejas, …jadi sukar melayari media sosial termasuk berurusan secara dalam talian," katanya.


Sementara itu, walaupun 90 peratus penduduk FELDA Chini sudah geran hak milik tanah, mereka tidak boleh sesuka hati menjual atau memajak tanah masing-masing sebaliknya perlu mendapatkan kebenaran dan kelulusan Menteri Besar Pahang.


Ia termaktub dalam geran hak milik itu bahawa bahawa peneroka tidak boleh sewenang-sewenangnya menjual dan menyalah gunakan geran berkenaan tanpa mendapat kelulusan Menteri Besar.


Ia bertujuan melindungi hak peneroka daripada tertipu atau terpedaya dengan pihak yang cuba mengambil kesempatan sehingga akhirnya merugikan anak serta cucu peneroka pada masa akan datang.


FAKTA FELDA Chini


FELDA Chini dibuka pada 1971

Seramai 80 peneroka pertama dari seluruh negara

Nama FELDA Chini diambil sempena Tasik Chini yang terkenal dengan legenda Naga Sri Gumum

Merangkumi lapan gugusan FELDA iaitu Chini 1, 2, 3, 4, 5 dan Chini Timur 1, 2, 3

Terletak di tengah laluan utama menghubungkan Kuantan dengan Segamat. Jarak ke Kuantan dari Felda Chini kira-kira 90km, manakala ke Segamat pula 135km.





Sumber: Berita Harian


1 view0 comments
COntact us
  • Grey Twitter Icon
  • Grey Facebook Icon
  • Instagram

© 2020 by The Pillar News.