GKP beri manfaat kepada 524,446 PKS mikro



PUTRAJAYA : Sejumlah 524,446 perusahaan kecil dan sederhana (PKS) mikro meraih manfaat menerusi Geran Khas Prihatin (GKP) membabitkan jumlah RM1.57 bilion.


Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, berkata bayaran GKP berjumlah RM3,000 sudah disalurkan kepada usahawan mikro sejak 15 Jun lalu, manakala PKS mikro yang diluluskan akan menerima bayaran mulai 29 Jun ini.


"Kerajaan berharap geran ini sedikit sebanyak akan dapat membantu PKS mikro menjana semula perniagaan masing-masing," katanya.


Beliau berkata demikian dalam perkongsian video mengenai pelaksanaan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) dan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) di Facebook, hari ini.


Mengenai program Subsidi Upah dan Subsidi Upah Ditambahbaik, Tengku Zafrul berkata, sejumlah RM4.89 bilion telah diluluskan kepada 303,596 majikan untuk dimanfaatkan lebih 2.40 juta pekerja setakat 19 Jun lalu.


Mengenai Program Bantuan Majikan COVID-19 (e-CAP) Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), beliau menjelaskan, sehingga 19 Jun, sebanyak 34,246 permohonan telah diterima dan sebanyak 8,489 diluluskan membabitkan nilai RM56.8 juta bagi caruman KWSP majikan.


"Ini adalah peningkatan daripada RM47.9 juta minggu lalu. Bagaimanapun, dengan pembukaan ekonomi secara berperingkat sejak 4 Mei, jumlah ini dijangka akan berkurangan pada bulan-bulan akan datang," katanya.


Tengku Zafrul berkata, seramai 19,253 PKS akan memanfaatkan Dana Pinjaman Mudah PKS setakat 19 Jun dengan kelulusan bank tempatan dan disetujuterima oleh usahawan yang layak.


"Jumlah ini termasuk dana Special Relief Facility, Automation & Digitalisation Facility, AllEconomic Sector Facility dan Agrofood Facility," katanya.


Beliau berkata, untuk Skim Kredit Mikro Bank Simpnanan Nasional (BSN) sebanyak 6,742 permohonan daripada peniaga mikro telah diluluskan bernilai RM236.4 juta setakat 19 Jun.


"Bagi program TEKUN Nasional, jumlah permohonan yang diluluskan ialah 22,843, bernilai RM174.63 juta," katanya.





Sumber: Berita Harian

0 views0 comments
COntact us
  • Grey Twitter Icon
  • Grey Facebook Icon
  • Instagram

© 2020 by The Pillar News.