Guna bakat, 'kabel' untuk kebaikan



Kuala Lumpur: Perkembangan karier pemain bola sepak turut dipengaruhi oleh bantuan 'kabel' bagi memudahkan mereka mengembangkan bakat masing-masing ke peringkat lebih tinggi. Malah, inisiatif berkenaan turut digunakan pemain bertaraf bintang luar negara untuk bermain di kelab ternama bagi memastikan mereka mempunyai tempat untuk menonjolkan bakat kepada pihak tertentu.


Pensyarah Kanan Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi UiTM Shah Alam, Mohd Sadek Mustaffa berkata, terdapat sesetengah pemain berbakat tidak mempunyai peluang dan ruang untuk bermain di peringkat lebih tinggi berikutan tiada pengaruh atau berhadapan masalah kewangan kerana memerlukan perbelanjaan yang tinggi.


Beliau berkata, kedudukan pasukan negara juga memainkan peranan bagi membolehkan mereka bermain di pentas lebih tinggi namun perkara berkenaan tidak menyebelahi pemain seperti Luqman Hakim Shamsudin.


"Luqman Hakim bukan datangnya daripada keluarga yang senang iaitu boleh keluarkan belanja untuk bermain di pentas yang lebih tinggi kerana mereka juga mengharapkan bantuan daripada pihak tertentu untuk mengembangkan bakat sendiri.


"Pemain yang lahir dari Akademi Mokhtar Dahari (AMD) itu sudah membuktikan dia seorang yang berkebolehan dan diiktiraf antara 60 pemain muda berbakat seluruh dunia. Sebenarnya, isu kabel bukanlah perkara besar kerana ia sebahagian daripada kerjaya pemain berkenaan untuk bermain di peringkat lebih tinggi," katanya ketika dihubungi Arena Metro.

Menerusi laporan Arena Metro sebelum ini, pemilik Johor Darul Ta'zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim mendedahkan KV Kortrijk sebenarnya tidak berminat untuk mendapatkan penjaring terbanyak Kejuaraan Konfederasi Bolasepak Asia B-16 pada 2018 itu.


Sebaliknya, pemilik KV Kortrijk yang juga ahli perniagaan terkenal Malaysia, Tan Sri Vincent Tan menawarkan kontrak di sebabkan atas permintaan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan bekas Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Abdul Rahman pada tahun lalu.


Lantas, melalui pendedahan itu menyaksikan Tunku Ismail dikritik hebat oleh warganet di alam maya apabila menuduhnya cemburu dan dengki dengan pencapaian pemain kelahiran Kota Bharu, Kelantan itu.


Malah, ada juga netizen yang mendakwa JDT seolah-olah berdendam kerana tidak dapat mengikat bintang bola sepak negara itu selepas dia memilih Selangor sebagai pasukannya pada Mac lalu.



Sumber: Harian Metro

1 view0 comments
COntact us
  • Grey Twitter Icon
  • Grey Facebook Icon
  • Instagram

© 2020 by The Pillar News.