Hafizh, Kasma tekad bangkit GP Republik Czech


KUALA LUMPUR: Hafizh Syahrin Abdullah dan Kasma Daniel Kasmayudin berazam untuk mempamerkan tunggangan lebih baik pada pusingan Kejuaraan Motosikal Dunia seterusnya yang dijadual berlangsung di Grand Prix (GP) Republik Czech, 9 Ogos ini.


Kedua-dua pelumba negara dalam kelas Moto2 itu terjatuh di Litar Jerez semalam dengan masing-masing tidak menamatkan perlumbaan dalam keadaan suhu litar lebih panas berbanding di GP Sepanyol, yang berlangsung di litar sama dua minggu lalu.


"Perlumbaan agak sukar untuk semua pelumba," kata Hafizh yang mewakili pasukan Openbank Aspar Team Moto2.


"Trek sangat panas berbanding semua trek dalam kejuaraan, boleh dikatakan rekod paling panas sekali.


"Apapun, saya sudah dapat mengejar kelompok 10 yang berada di depan.... (Xavi) Vierge, (Marcel) Schrotter dan pelumba lain di depan. Saya mengalami masalah sama seperti (Jorge) Navarro.


"Suhu litar yang sangat panas. Keadaan tayar normal iaitu 75 darjah berubah menjadi 93 darjah dan suhu motosikal juga naik 10 darjah lagi. Disebabkan itu, saya hilang kawalan di bahagian depan kerana suhu tayar.


"Apapun, saya akan cuba lebih baik pada perlumbaan seterusnya. Mohon maaf kepada semua dan saya akan berusaha lebih gigih untuk perlumbaan akan datang."


Sementara itu, Kasma yang mula menemui rentak pada awal minggu saingan menyatakan kekecewaannya dan akan mengambil daripada perlumbaan di Jerez bagi memperkuatkan lagi keyakinannya menghadapi baki musim pertamanya beraksi dalam kelas pertengahan berkenaan.


"Saya menemui permulaan perlumbaan yang agak bagus dan dapat memintas tiga pelumba di depan. Saya cuba mengikut rentak mereka, tetapi sukar dengan keadaan cuaca yang panas berbanding perlumbaan sebelum ini.


"Saya agak kesal kerana tak dapat menamatkan perlumbaan kali ini. Saya terjatuh pada pusingan awal, di Selekoh 6 kerana hilang cengkaman di tayar depan. Saya mengambil situasi ini sebagai pengalaman.


"Secara keseluruhannya, pada minggu ini saya gembira kerana sudah menunjukkan peningkatan yang agak baik daripada segi catatan masa, cuma nasib tidak menyebelahi saya untuk perlumbaan kali ini. Apapun, saya bersyukur dan akan cuba lebih baik pada perlumbaan seterusnya," kata Kasma yang bersama pasukan ONEXOX TKKR SAG Team itu.




Sumber: Berita Harian

0 views0 comments