Hishammuddin sedia letak jawatan menteri kalau…



DATUK Seri Hishammuddin Hussein sedia melepaskan jawatannya sebagai Menteri dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN) jika parti mengarahkannya berbuat demikian.


“Saya setia kepada parti dan akan akur kepada keputusan MKT (Majlis Kerja Tertinggi). Kalau MKT arah saya letak jawatan, saya akan letak jawatan,” katanya.


Beliau yang merupakan Menteri Luar Negeri berkata demikian pada ruangan komen yang menjawab persoalan ditimbulkan netizen di Facebook hari ini.


Tanda tanya adakah ahli Umno yang berjawatan Menteri dan Timbalan Menteri termasuk yang menjadi Pengerusi dalam agensi kerajaan akan tunduk pada arahan parti mula hangat di kalangan ahli Umno sebaik sahaja selesai Perhimpunan Agung Umno (PAU) bulan lalu.


Perwakilan PAU telah meluluskan usul untuk Umno mengakhiri kerjasama politik dengan Bersatu dan PN sebaik sahaja Parlimen terbubar.


PAU juga memberi garis masa kepada Umno menarik sokongan terhadap kerajaan PN pimpinan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin sehingga 1 Ogos nanti selari berakhirnya tarikh pelaksanaan proklamasi darurat.


Kuasa juga telah diberikan kepada Presiden Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan MKT untuk menentukan bila masa sesuai untuk parti itu menarik sokongan terhadap kerajaan PN.


Beberapa pemimpin Umno terutamanya daripada ‘Kluster Kabinet’ lantang mengkritik keputusan PAU dan Presiden parti yang dikatakan sudah hilang ciri-ciri memimpin parti.

Untuk rekod, Hishammuddin melepaskan semua jawatannya dalam Umno sebaik sahaja Barisan Nasional (BN) tewas pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).


Namun, beliau telah dipilih Muhyiddin menyertai Kabinet sebagai Menteri Luar pada tahun lalu.



– Malaysiapost

0 views0 comments