Ikhtiar jimat belanja dapur


KUALA LUMPUR: Musibah Covid-19 yang membataskan pergerakan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mendorong masyarakat semakin berinovasi dalam menjimatkan perbelanjaan dapur dan mencari sumber pendapatan.


Tidak sekadar mengalah dengan nasib hidup, mereka yang terjejas dan kehilangan sumber pendapatan mencari ikhtiar bercucuk tanam dengan modal minimum serta menggunakan ruangan terhad di halaman dan belakang rumah mereka sahaja.


Siapa sangka kecekalan tiga individu ini dalam mengusahakan tanaman menjadi periuk nasi mereka untuk meneruskan kelangsungan hidup selepas terjejas akibat Covid-19.

Kini penat lelah mereka berbayar selepas tanaman diusahakan membuahkan hasil serta memberikan rezeki yang menjana pendapatan mereka sekeluarga.


Lebih bermakna, hasil tanaman dan benih semaian diusahakan mereka semakin mendapat permintaan tinggi ketika Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) ini.

KISAH 1

"Selepas kehilangan sumber pendapatan, saya mula bercucuk tanam pada Mei lalu dengan bantuan modal dua individu prihatin.


"Alhamdulillah, sebulan selepas itu, saya memungut hasil pertama dan mampu meraih pendapatan kasar RM1,300," kata Saufee Anas Kamaruddin, 41.


Saufee Anas berkata, dia menanam tumbuhan mudah dan tidak memerlukan tempoh lama untuk menuai hasil seperti cili api, bendi, terung dan kacang panjang.

"Saya usahakan tanaman ini dengan bantuan isteri. Alhamdulillah, dalam tempoh sebulan sahaja, tanaman kami berjaya membuahkan hasil.


"Empat pemilik kedai runcit sekitar rumah berminat memasarkan hasil tanaman kami," katanya.


Menurutnya, dia akan terus mengusahakan tanaman berkenaan untuk menampung sara hidup keluarga.


"Saya bercadang untuk terus fokus kerana saya nampak bidang pertanian ini luas potensinya," katanya.


Mengimbau kehidupannya sebelum ini, bapa enam anak itu berkata, hidup mereka sekeluarga berubah sekelip mata selepas dia mengalami kejatuhan dalam perniagaan sub kontraktor untuk sebuah syarikat telekomunikasi.


"Ujian datang bertimpa-timpa termasuk rumah yang kami duduki di Ampang dilelong bank.

"Ia membuatkan saya dan keluarga terpaksa hidup bergelandangan di mana-mana termasuk menumpang teduh di sebuah dewan komuniti.


"Sejak Februari hingga April lalu, saya buat macam-macam kerja untuk tampung keluarga sebelum akhirnya bercucuk tanam selepas dicadangkan seorang rakan," katanya yang kini menetap di Sungai Buloh hasil ihsan individu yang menyediakan tempat teduh percuma.

KISAH 2

Hanya bergurukan Internet dan menggunakan baja kompos, usaha Johani Yusof, 59, nyata tidak sia-sia apabila tanaman diusahakan kini menjadi pendapatan tetap buatnya dan suami.

Johani berkata, dia mula bercucuk tanam pada Januari lalu sekadar suka-suka untuk kegunaan sendiri kerana mereka mempunyai pendapatan rumah sewa berjumlah RM1,500 sebulan.


"Apabila PKP bermula, saya tidak lagi dapat mengutip sewa rumah itu kerana penyewa tidak mampu bayar.


"Kami rasa agak terkesan apatah lagi tidak menerima sebarang bantuan membuatkan saya terfikir untuk fokus kepada bidang pertanian.


"Oleh itu, saya dengan bantuan suami mula tanam kunyit, kangkung, bayam Brazil, bendi dan rozel untuk makanan sendiri dan beri jiran," katanya.


Menurutnya, jualan hasil tanamannya semakin mendapat permintaan tinggi sejak April lalu apabila dia berkongsi hobinya bercucuk tanam di Facebook.


"Kebanyakan pelanggan di sekitar taman perumahan dan perkampungan serta tiga kedai runcit di Ampang.


"Selain hasil tanaman, saya juga jual benih semaian, baja dan polibeg yang mampu meraih RM700 sebulan dan jumlah itu berganda selepas PKP apabila saya mampu capai lebih RM1,500," katanya.


Menurutnya, dia menggunakan kaedah tradisional tanpa bergantung kepada racun serangga.


"Saya banyak tengok YouTube untuk belajar cara menanam terutama menggunakan medium sabut.


"Daripada situ, saya pelajari cara menggunakan lebihan roti, nasi serta air basuhan beras untuk dijadikan baja," katanya yang kerap dipelawa berkongsi ilmu asas pertanian dengan komuniti setempat, sekolah serta agensi kerajaan.


KISAH 3

"Selepas PKP, hasil jualan benih pokok semaian saya mencecah sehingga RM800 berbanding RM200 sebelum ini.


"Hikmah PKP ini, saya nampak bukan sahaja diri saya, malah masyarakat pun semakin sedar kepentingan bercucuk tanam bahan keperluan dapur yang tidak rumit penjagaannya dan tidak memerlukan modal besar," kata Norafita Mansor, 47.


Norafita berkata, dia berjinak-jinak bercucuk tanam ketika PKP selepas kesulitan mendapatkan bahan untuk memasak.


"Sebelum PKP, memang saya rajin menanam herba untuk kegunaan sendiri dalam bidang urutan dan penjagaan wanita bersalin.


"Sepanjang PKP, saya banyak meminta suami membelikan barangan basah seperti sayuran dan bahan untuk memasak, tetapi biasalah kadang-kadang tidak lengkap.


"Sejak itu, saya mula bercucuk tanam seperti sawi, kunyit, cili padi, tenggek burung, pucuk ubi, serai, bunga kantan dan lengkuas selepas mendapat inspirasi dalam Facebook dan mereka yang pakar dalam asas pertanian," katanya.


Menurutnya, sejak bercucuk tanam sendiri, mereka sekeluarga bukan sahaja jimat belanja dapur, tetapi menambah pendapatan keluarga.


"Saya antara yang terjejas teruk kerana tidak dapat keluar mengurut pelanggan ketika PKP.

"Dengan adanya tanaman ini, dapat kami berjimat belanja dapur selain menambah pendapatan kerana adanya permintaan semaian anak benih dan polibeg," katanya.


Norafita berkata, dia bercadang menanam pokok yang bakal pupus dan jarang ditemui pada zaman sekarang terutama tanaman untuk kegunaan perubatan tradisional perbidanan.

"Saya nampak banyak tanaman jika kita tidak tanam sekarang akan pupus pada masa akan datang antaranya mengkudu, daun inai, pokok lemuni, belalai gajah, daun pecah beling, bunga kenanga, kembang cina dan melur.


"Pokok berkenaan susah hendak jumpa kerana jarang orang tanam dan tidak ramai juga mengetahui khasiatnya," katanya.




Sumber: Astro Awani

0 views0 comments