Inisiatif bantu peruncit, lonjak kuasa beli rakyat


KUALA LUMPUR: Inisiatif kerajaan menerusi Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) bernilai RM45 bilion akan menjadi titik tolak pemulihan perniagaan di Malaysia.


Presiden Persatuan Rantaian Peruncit Malaysia (MRCA), Datuk Seri Garry Chua Kah Seng, berkata pengenalan inisiatif Shop Malaysia Online, ePENJANA dan Beli Barangan Buatan Malaysia membuktikan kerajaan serius untuk memacu semula kegiatan runcit dalam negara.


"Inisiatif ini memberi peluang kepada rakyat berbelanja. Ia akan merancakkan semula industri runcit yang terjejas teruk, susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dicetuskan COVID-19," katanya ketika dihubungi BH di sini, semalam.


Di bawah inisiatif Shop Malaysia Online, kerajaan memperuntukkan RM70 juta untuk dimanfaatkan oleh perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta usahawan mikro sedia ada yang beroperasi dalam talian.


Objektif inisiatif itu untuk menggalakkan perbelanjaan rakyat secara dalam talian menerusi penggunaan e-baucar.


Sehubungan itu, kerajaan akan bekerjasama dengan penyedia platform e-dagang untuk membiayai bersama diskaun e-baucar bagi menggalakkan pembelian dalam talian produk peruncit tempatan.


Kah Seng berkata, inisiatif ePENJANA yang menawarkan kredit e-dompet bernilai RM50 tepat pada masanya untuk menggalakkan rakyat membeli pelbagai produk di kedai fizikal, tetapi membuat pembayaran tanpa tunai.


Katanya, golongan B40 dan M40 pastinya memanfaatkan insentif RM50 dari kerajaan dan tambahan RM50 melalui baucar diskaun oleh pembekal e-dompet.


"Saya percaya usaha kerajaan ini untuk membantu rakyat dan industri runcit yang kini sudah menunjukkan tanda pemulihan awal. Saya jangka industri semakin baik menjelang akhir tahun ini. Paling awal November," katanya.


Menerusi inisiatif ePENJANA, kerajaan memperuntukkan RM750 juta untuk dimanfaat 15 juta rakyat yang berusia 18 tahun ke atas yang berpendapatan kurang RM100,000 setahun.


Bagi Kempen Beli Barangan Buatan Malaysia, inisiatif yang akan dimanfaatkan oleh peniaga tempatan dapat menggalakkan penggunaan barang dan perkhidmatan buatan Malaysia.


Menerusi kempen ini, kerajaan mewajibkan penandaan barang buatan tempatan bagi rangkaian pasar raya, selain mewujudkan saluran khusus produk Malaysia di platform e-dagang utama.


"Saya melihat kerajaan mahu membantu semua, termasuk ahli kami yang masih belum pulih daripada kesan COVID-19.


"Selepas pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), jualan ahli kami mulai pulih, tetapi masih rendah sekitar 20 hingga 30 peratus.


"Mungkin selepas ini, kerajaan boleh membuka sempadan dengan memberi kebenaran rakyat negara luar yang berstatus Zon Hijau (bebas COVID-19) bertandang ke Malaysia. Ia pasti merancakkan semula industri peruncitan," katanya.




Sumber: Berita Harian

1 view0 comments