Insentif PENJANA usaha kekal, cipta pekerjaan



Pelbagai inisiatif akan dilaksanakan Kementerian Sumber Manusia dan agensi di bawahnya menerusi Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) yang dibentangkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Jumaat lalu. Bagi mengupas lebih lanjut mengenai inisiatif dan insentif PENJANA, wartawan BH, Zanariah Abd Mutalib dan Mohd Zaky Zainuddin menemubual Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan di pejabatnya, di Putrajaya.


S: Jabatan Perangkaan Malaysia baru-baru ini menyebut kadar pengangguran di dalam negara dijangka meningkat kepada 5.5 peratus atau lebih 860,000 orang penganggur sepanjang tahun ini. Justeru, berapa banyak peluang pekerjaan tambahan yang dijangkakan melalui PENJANA?


J: Pertamanya, Kementerian Sumber Manusia melalui Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) akan memperluaskan Program Subsidi Upah bagi membantu sektor perniagaan mengekalkan pekerja mereka dan mengurangkan aliran tunai. Sehingga 8 Jun lalu, permohonan bagi Program Pengekalan Pekerjaan (ERP) membabitkan 37,435 majikan dan 335,933 pekerja. Permohonan subsidi upah pula membabitkan 309,410 majikan dan 2,509,916 pekerja. Selain mengekalkan pekerja, kementerian juga berusaha untuk mencipta pekerjaan dan mendorong penempatan melalui Program Insentif Pengambilan yang dikendalikan PERKESO. Program ini bertujuan memberi pekerjaan kepada 300,000 pencari kerja. Di bawah inisiatif ini, majikan diberi insentif tunai langsung jika mereka menggaji pekerja Malaysia termasuk perantis, mereka yang berusia bawah 40 tahun dan 40 tahun ke atas atau orang kurang upaya (OKU).


S: Dalam pengumuman PENJANA, kerajaan melanjutkan pemberian subsidi upah selama tiga bulan lagi. Boleh Datuk Seri terangkan sejauh mana lanjutan ini akan memanfaatkan pekerja dari segi jumlah penerima dan sektor yang akan diutamakan?


J: Lanjutan ini akan memberi manfaat kepada lebih 2.7 juta pekerja, terutama dalam perusahaan kecil dan sederhana (PKS), sektor yang tidak dibenarkan beroperasi sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan juga sektor berkaitan pelancongan seperti pengusaha hotel, agensi pelancongan dan syarikat penerbangan.


Syarikat dalam sektor ini adalah antara yang terjejas teruk akibat kesan ekonomi daripada pandemik COVID-19 dan bantuan subsidi upah ini boleh membantu syarikat terbabit menstruktur semula perniagaan dengan tenaga kerja yang optimum. Ini bagi membolehkan mereka melalui waktu yang sukar ini tanpa menutup perniagaan atau memberhentikan pekerja. Dengan mengekalkan pekerja yang terlatih dan berpengalaman, syarikat mudah bangkit semula apabila pasaran dan ekonomi kembali pulih.



S: Berhubung insentif pengambilan pekerja untuk golongan belia dan penganggur, berapa ramaikah bakal menerima manfaat?


J: Lebih 300,000 graduan baharu dan belia yang menganggur termasuk perantis, layak menerima manfaat daripada insentif ini.


S: Bagi golongan penganggur, elaun yang akan diterima adalah RM800 bagi yang berusia 40 tahun ke bawah dan RM1,000 bagi 40 tahun ke atas. Bagaimana mekanisme pelaksanaannya nanti?


J: Di bawah Insentif Pengambilan Pekerja, insentif kewangan diberikan mengikut kategori iaitu program perantis membabitkan insentif bagi tempoh enam bulan sebanyak RM600 sebulan, pencari kerja tempatan yang berusia 40 tahun ke atas pula RM1,000 dan pencari kerja tempatan dalam kalangan OKU juga RM1,000. Pelaksanaan insentif ini membabitkan pengambilan pekerja yang menganggur sekurang-kurangnya dua bulan. Majikan yang mengiklankan kekosongan pekerjaan melalui Portal Pekerjaan MyFutureJobs atau mana-mana portal pekerjaan lain dan mengambil pekerja tempatan di bawah kategori ini, mereka perlu mendaftarkan pekerja baru mereka di Portal ASSIST PERKESO. Majikan perlu membayar caruman PERKESO bagi pekerja baharu ini untuk melayakkan mereka menerima bayaran insentif pengambilan pekerja. Majikan akan menerima bayaran insentif selama enam bulan.


S: Terdapat aduan daripada persatuan usahawan dan perniagaan bahawa penyaluran dana yang dikatakan amat perlahan kepada penerima biarpun permohonan sudah lama diluluskan. Bagaimana dengan penyaluran subsidi upah sebelum ini? Berapa lama tempoh diperlukan untuk majikan dan pekerja dapat menerima subsidi upah ini?


J: Lebih 95 peratus permohonan sudah diluluskan dan pembayaran dibuat PERKESO. Kami melihat dalam kebanyakan kes, lebih 28,000 majikan memberikan nombor pendaftaran bank atau akaun bank yang salah dan ada akaun yang tidak aktif. Terdapat juga majikan yang memberi nombor pendaftaran perniagaan (BRN) yang salah pada kali kedua dan ini menyebabkan mereka menerima bantuan lewat sedikit berbanding dengan mereka yang memberi nombor yang betul. Mereka yang memberi nombor yang betul sudah pun menerima bayaran yang kedua tanpa sebarang masalah. Dari segi dokumentasi, hanya beberapa dokumen diperlukan untuk pemprosesan. Ini adalah perkara biasa untuk memastikan wang yang disediakan kerajaan sampai kepada mereka yang memerlukan secara telus.


Kami juga melihat pelbagai kes di mana majikan membuat permohonan tetapi tidak menyalurkan wang kepada pekerja, atau membuat tuntutan yang tidak sah. Saya memberi komitmen bahawa PERKESO akan memproses semua permohonan dengan cepat mengikut proses yang sepatutnya dan menyeru agar semua majikan memberikan maklumat akaun secara betul.


S: Dalam menaik taraf dan memperkukuh portal pekerjaan dan padanan kerja, apakah penambahbaikan yang akan dilakukan? Adakah naik taraf ini membabitkan sebarang kos dan jika ya, berapakah jumlahnya? Selain itu, proses naik taraf ini akan dilakukan secara dalaman atau menggunakan syarikat luar?


J: Tiada sebarang kos untuk menaik taraf portal pekerjaan ini. Naik taraf portal ini adalah dari segi perluasan skop perkhidmatan pekerjaan PERKESO menggunakan single window. Portal ini menggunakan standard European Classification of Occupations (ESCO) di mana setiap jawatan termasuk kemahiran dan kompentesi akan dipadankan dengan keperluan majikan. Portal ini berintegrasi dengan sistem caruman PERKESO yang mampu mengesan individu yang kehilangan pekerjaan dan memerlukan bantuan PERKESO untuk penempatan pekerjaan atau mengesahkan sekiranya seorang itu sudah kembali bekerja. Portal ini turut berasaskan standard organisasi untuk Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD) yang merangkumi penempatan pekerjaan, kaunseling kerjaya dan intensif bagi golongan yang mengalami kesulitan, bantuan mobiliti dan kewangan untuk kehilangan pekerjaan serta program pasaran buruh aktif. Sebanyak 266 Kaunselor Kerjaya PERKESO memainkan peranan penting dalam portal ini di mana pengurusan kes bagi golongan mudah terjejas diberi bantuan secara sokongan individu.


Sebagai contoh, jika seorang graduan sudah menganggur lebih enam bulan, maka kaunselor akan memantau tindakan graduan berkenaan dalam portal dan mengatur intervensi yang diperlukan untuk membantunya kembali bekerja. Portal ini turut dipacu kecerdasan buatan (AI) yang membolehkan padanan yang tepat antara pencari kerja dan majikan.



S: Bolehkah Datuk Seri jelaskan bagaimana dana RM2 bilion untuk peningkatan kemahiran, penempatan dan latihan diurus serta disalurkan?


J: Dana RM2 bilion ini adalah untuk beberapa kementerian dan tidak hanya untuk Kementerian Sumber Manusia sahaja. Di pihak kementerian, peruntukan yang diterima akan digunakan untuk peningkatan kemahiran, penempatan dan latihan bagi memastikan tiada pertindihan ketika ia dilaksanakan. Sebelum pelaksanaan, Pembangunan Sumber Manusia Berhad (HRDF) dan PERKESO sudah membahas dan bersetuju mengenai tujuan serta garis panduan yang ditetapkan untuk memastikan peruntukan berkenaan dibelanjakan dengan tepat. Salah satu dimensi perbincangan ini adalah kumpulan sasar, contohnya, semua perantis akan memanfaatkan dana oleh HRDF, sementara latihan untuk individu yang menganggur di bawah program pengambilan akan dikendalikan PERKESO dengan kerjasama HRDF.


Sebenarnya, akan ada juga jawatankuasa khas untuk memantau kursus yang dipersetujui, yang sesuai untuk pelbagai inisiatif ini kerana bagi saya, sebagai menteri, saya memberi penekanan kepada hasil latihan yang diberikan kepada individu yang memerlukan. Pendekatan yang diambil PERKESO mengenai latihan adalah berbeza, yang mana di bawah Insentif Pengambilan Pekerja, majikan akan membuat pemilihan kursus yang bersesuaian untuk pekerja yang digajikan mereka bagi tujuan kesinambungan perniagaan. Bagi memastikan tiada pertindihan pemberian latihan, PERKESO akan bekerjasama dengan HRDF untuk menyelaraskan program ini.


S: Bagaimana pula kerajaan dapat memastikan syarikat yang memberhentikan pekerja dalam tempoh ini tidak layak menikmati faedah seperti Program Subsidi Upah dan insentif pengambilan pekerja sebanyak RM1.5 bilion? Adakah akan ada proses audit nanti?


J: Kementerian melalui PERKESO sudah merancang proses dan program dengan teliti untuk memastikan individu yang sama yang disenaraikan dalam program subsidi upah atau ERP tidak berhak mendapat insentif pengambilan (program pengambilan pekerja baharu). PERKESO menerapkan langkah pengawalan termasuk pengesahan sumbangan berkanun, kriteria kelayakan pengangguran selama beberapa bulan, kekosongan iklan dan jejak audit untuk mengurangkan bahaya moral. Sebagai contoh, PERKESO memanfaatkan sistem Sumbangan Majikan dan sistem Manfaat Pemberhentian sebagai mekanisme pemeriksaan silang sebelum membuat pembayaran kepada majikan yang mengambil pekerja. Sistem ini disatukan dengan program insentif pengambilan pekerja.


S: Di bawah PENJANA, RM50 juta dalam bentuk geran padanan akan diperuntukkan bagi platform ekonomi gig dalam usaha menjamin keselamatan sosial dan kebajikan golongan itu. Bagaimana pelaksanaan pemberian geran padanan ini, dan berapakah sasaran pekerja ekonomi gig yang akan mendaftar kerana PERKESO sebelum ini pernah memaklumkan kesedaran pemandu e-hailing contohnya, mencarum PERKESO agak rendah?


J: Pelaksanaan geran padanan ini adalah melalui platform gig seperti Grab, Foodpanda dan lain-lain yang mencarum untuk operator penghantaran barangan dan makanan mereka dalam nisbah 70:30 di mana bagi setiap seorang pekerja gig yang dicarum, kerajaan memberi caruman padanan yang bernilai RM162.80. Caruman ini adalah untuk perlindungan keselamatan sosial di bawah Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri yang ditadbir PERKESO. Selepas pemandu e-hailing ini diliputi skim berkenaan selama setahun, kami percaya kesedaran mengenai pentingnya mencarum dengan PERKESO akan meningkat, terutama apabila mereka lihat sendiri kebaikan mencarum serta faedah dan perkhidmatan yang disediakan kepada pencarum dan keluarga mereka apabila ditimpa musibah sewaktu menjalankan aktiviti pekerjaan.


S: Sebelum ini, seorang pensyarah pernah mencadangkan jumlah pekerja asing perlu dikurangkan antara 30 hingga 40 peratus bagi menurunkan kadar pengangguran yang dijangka meningkat kepada 4.0 peratus tahun ini berikutan COVID-19. Adakah ini boleh dilaksanakan terutama kebanyakan mereka terbabit dalam sektor kotor, berbahaya dan sukar (3D) yang tidak mahu diceburi rakyat tempatan?


J: Apa yang boleh saya katakan adalah, situasi ketika ini adalah situasi yang luar biasa. Saya selalu katakan bahawa business not as usual dan ini tidak hanya berlaku di Malaysia tetapi juga seluruh dunia. Semua negara dan pihak terkesan dengan COVID-19. Melihat kepada keadaan itu, ini bukanlah masanya untuk rakyat tempatan, orang kita memilih kerja. Rakyat kita perlu mengambil apa saja kerja yang ada demi kelangsungan hidup. Mereka yang sedang mencari kerja atau memerlukan pekerjaan ini boleh bekerja dalam sektor 3D. Jika mereka tidak memilih atau terdapat keinginan untuk mendapatkan kerja, sudah pasti kita boleh kurangkan pembabitan pekerja asing dalam negara, sekali gus mengurangkan kadar pengangguran. Posisi atau kekosongan yang wujud akibat ketiadaan pekerja asing ini akan diisi pekerja tempatan, kadar pengangguran turun dan pekerja kita mendapat kerja. Ini adalah situasi menang-menang. Selain itu, meningkatkan pembabitan pekerja tempatan juga menjadi salah satu daripada keutamaan Kementerian Sumber Manusia selari dengan komitmen kementerian mendorong lebih banyak pekerja tempatan diambil bekerja.


S: Adakah kerajaan dapat memastikan rizab PERKESO tidak terjejas dan boleh terus berfungsi serta memberi pampasan yang diperlukan pencarum?


J: Dana PERKESO tidak akan terjejas kerana inisiatif di bawah PENJANA adalah daripada peruntukan kerajaan. Jika PERKESO boleh membantu mereka yang menganggur mendapat pekerjaan, maka negara akan mempunyai lebih banyak pekerja, sekali gus lebih banyak yang akan mencarum dengan PERKESO. Ini akan meningkatkan dana PERKESO yang akan digunakan untuk perlindungan keselamatan sosial yang lebih baik untuk pekerja dan kebajikan mereka serta keluarga.




Sumber: Berita Harian

1 view0 comments