Inspektor didakwa rogol, cabul 2 wanita Mongolia


Pegawai polis berpangkat Inspektor mengaku tidak bersalah atas sembilan pertuduhan rogol dan cubaan cabul dua wanita Mongolia di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya, pada Khamis 30 April. Tertuduh, Hazrul Hizham Ghazali, 30, membuat pengakuan itu dan memohon kes dibicarakan selepas sembilan pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Hakim.


Pegawai polis itu yang kini digantung tugas sejak Rabu lalu hadir ke mahkamah bersama dua peguam belanya.


Enam pertuduhan rogol dan satu pertuduhan cubaan cabul terhadap mangsa pertama berusia 20 tahun serta dua pertuduhan rogol untuk mangsa kedua berusia 36 tahun dikenakan terhadap tertuduh dengan menggunakan kedudukan kuasanya sebagai pegawai polis bagi mendapatkan kerelaan mereka.


Bagi sembilan kes berkenaan, dia didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 376 (2)(f) Kanun Keseksaan dan Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana merogol serta cubaan cabul.


Hakim menetapkan 2 Jun nanti sebagai tarikh sebutan semula dan penyerahan dokumen kes berkenaan.


Sumber: Harian Metro

0 views0 comments
COntact us
  • Grey Twitter Icon
  • Grey Facebook Icon
  • Instagram

© 2020 by The Pillar News.