Jambatan penghubung Sungai Maong-Segedup kurangkan kesesakan di Batu Kawa



KUCHING, 30 Jun -- Jambatan menghubungi antara kawasan Sungai Maong dan Segedup bukan sahaja akan menjadi jalan alternatif baharu malah mampu membantu mengurangkan kesesakan di jalan utama di Batu Kawa, kata Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg hari ini. 

Beliau berkata dengan adanya jambatan penghubung itu kelak ia bakal memberi ruang kepada pembukaan sebuah kawasan pembangunan yang baharu.

“Justeru, kita mencari jalan untuk membangunkan kawasan ini supaya jalan ke Segedup lebih dekat tanpa menggunakan jalan yang jauh seperti sekarang.


“Keduanya, kita dapat merancang pembangunan perumahan di kawasan ini setelah siapnya jambatan penghubung itu kelak dengan harga yang berpatutan,” katanya pada majlis Pecah Tanah Projek Jalan Sungai Maong ke Segedup di sini.

Katanya, selain menumpukan kepada pembangunan yang terancang di kawasan bandar, kerajaan negeri turut memfokuskan pembangunan di luar bandar agar matlamat menjadikan Sarawak negeri maju menjelang 2030 akan tercapai.

“Kita bertuah, keadaan yang baik di negeri ini (kestabilan politik) membolehkan kita menumpukan kerja-kerja pembangunan seperti pembinaan jalan raya, jambatan untuk rakyat selain pembukaan kawasan pertanian untuk rakyat agar rakyat di bandar dan luar bandar dapat merasa pembangunan bersama,” katanya.


Jambatan penghubung bernilai kira-kira RM29 juta itu merupakan projek pembangunan kerajaan negeri  dan ia dijangka siap menjelang Januari 2022. -- BERNAMA




Sumber: Bernama

1 view0 comments
COntact us
  • Grey Twitter Icon
  • Grey Facebook Icon
  • Instagram

© 2020 by The Pillar News.