Janda OKU ditahan positif dadah



YAN: Seorang ibu tunggal berstatus orang kurang upaya (OKU) antara lapan yang ditahan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dalam satu operasi di daerah ini awal pagi ini.


Operasi yang dianggotai 10 anggota AADK itu melibatkan lapan buah kampung bermula dari pukul 10 malam dan berakhir pukul 3 pagi.


Ketua AADK Daerah Yan, Mohamad Ramli berkata, ibu tunggal yang kudung tangan kiri berusia 32 tahun itu ditahan di rumahnya di Batu 14 1/2 Simpang Tiga Sungai Daun di sini ketika sedang berehat di bahagian atas rumahnya kira-kira pukul 2 pagi tadi.


“Hasil saringan air kencing pada wanita terbabit mendapati dia positif dadah jenis opiat dan methamphetamine,” katanya dalam satu kenyataan di sini.


Tambahnya, hasil soal siasat mendapati ibu tunggal kepada enam anak berusia empat hingga 14 tahun itu mula berjinak-jinak dengan dadah sejak berusia 15 tahun.


“Ibu tunggal ini kematian suaminya akibat jangkitan kuman pada paru-paru sejak lima tahun lalu dan menyara enam anaknya itu dengan bekerja sebagai pengutip dana tahfiz,” katanya.


Dalam pada itu, beliau berkata, kesemua lapan individu yang ditahan telah dibawa ke Pejabat AADK di sini untuk tindakan lanjut.


“Hasil ujian saringan air kencing, kesemua mereka positif dadah jenis opiat dan methamphetamine.


“Mereka akan disiasat di bawah seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah ( Rawatan & Pemulihan ) 1983 Pindaan 1998,” katanya.



– Sumber: UTUSAN

0 views0 comments