Jumlah penganggur meningkat 17.1 peratus



KUALA LUMPUR: Jumlah penganggur pada Mac meningkat 17.1 peratus kepada 610,500 orang berbanding 521,300 orang pada bulan sama tahun lalu.


Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin, berkata ini menjadikan kadar pengangguran pada Mac 2020 meningkat kepada 3.9 peratus.


Katanya, kadar pengangguran yang tertinggi ini dipengaruhi terutama oleh impak negatif Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ke atas pasaran buruh.


"Kadar pengangguran tertinggi negara pernah dicatatkan ialah pada kadar 7.4 peratus pada 1986," katanya dalam kenyataan mengumumkan Statistik Utama Tenaga Buruh Malaysia bulan Mac dan suku pertama 2020.


Beliau berkata, bilangan tenaga buruh pada Mac turun 0.2 peratus kepada 15.84 juta orang berbanding Februari 2020, dengan penduduk bekerja turut merosot 0.7 peratus kepada 15.23 juta orang.


"Daripada jumlah itu, seramai 2.81 juta adalah bekerja sendiri seperti peniaga atau pengusaha kecil-kecilan dan seumpamanya yang menerima pendapatan harian.

"Mereka ini terdedah kepada risiko pengangguran dan kehilangan pekerjaan yang boleh menjejaskan pendapatan semasa tempoh PKP kerana sebahagiannya tidak dapat bekerja dan mengusahakan perniagaan," katanya.


Mengulas prestasi tenaga buruh pada suku pertama, Mohd Uzir berkata kadar pengangguran meningkat kepada 3.5 peratus berbanding 3.2 peratus pada suku keempat 2019 berikutan kadar pengangguran yang melonjak pada Mac 2020.


Beliau menegaskan, ini kadar pengangguran tertinggi yang pernah dicatatkan sejak suku kedua 2017.


Katanya, bilangan penganggur pada suku pertama seramai 546,600 orang, naik 5.8 peratus berbanding suku yang sama tahun lalu.


"Daripada jumlah penganggur terbabit, penganggur siswazah menyumbang sebanyak 29.3 peratus. Peningkatan kadar pengangguran boleh dikaitkan dengan kesan negatif yang disebabkan oleh PKP," katanya.


Kategori penganggur bagi kumpulan umur belia 15 hingga 30 tahun mencatatkan kadar pengangguran tertinggi iaitu 6.9 peratus diikuti 31 hingga 45 tahun (1.4 peratus) dan 46 hingga 64 tahun (1.1 peratus).



Sumber: Berita Harian

2 views0 comments
COntact us
  • Grey Twitter Icon
  • Grey Facebook Icon
  • Instagram

© 2020 by The Pillar News.