Kadar pengangguran meningkat kepada 5.3 peratus


PUTRAJAYA: Kadar pengangguran Malaysia terus meningkat kepada 5.3 peratus pada Mei 2020, dengan seramai 826,100 penganggur dicatatkan.


Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin, berkata kadar


pengangguran terus meningkat 0.3 mata peratus bagi perbandingan bulan ke

bulan kepada 5.3 peratus berikutan bilangan penganggur meningkat sebanyak

47,300 orang berbanding April 2020.


Walau bagaimanapun, katanya peningkatan bulanan bilangan penganggur pada Mei 2020 ini adalah lebih rendah berbanding peningkatan yang dicatatkan bagi Mac ke April, iaitu seramai 168,300 orang.


"Pengurangan itu berkemungkinan disebabkan oleh pelaksanaan pelbagai pakej

rangsangan bagi mencapai sasaran tertentu di samping lebih banyak perniagaan yang dibenarkan beroperasi berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Bersyarat (PKPB) dalam bulan berkenaan," katanya dalam satu kenyataan.


Dalam pada itu, bilangan penduduk bekerja yang tidak bekerja buat sementara waktu

juga telah berkurang lebih daripada separuh kepada 2.27 juta orang.


Kumpulan ini, yang kemungkinan besar tidak dapat bekerja dari rumah, tidak dikategorikan sebagai penganggur kerana mereka mempunyai pekerjaan dan akan kembali semula bekerja.


Daripada jumlah tenaga buruh pada Mei 2020, penduduk bekerja mencatatkan

penurunan marginal 0.3 peratus bulan ke bulan kepada 14.89 juta orang.


Selari dengan ini, nisbah guna tenaga kepada penduduk yang memberikan maklumat mengenai kemampuan ekonomi untuk mewujudkan guna tenaga terus menurun sebanyak 0.4 mata peratus kepada 64.4 peratus.


Pada bulan itu, penduduk bekerja yang terjejas adalah dalam sektor perkhidmatan,

terutamanya industri yang berkaitan dengan pelancongan, penginapan, perancang

acara, kesenian & hiburan, aktiviti sukan & rekreasi, serta perkhidmatan lain.


Berikutan pengesanan peningkatan kluster COVID-19 dalam kalangan pekerja asing oleh pihak berkuasa kesihatan, penurunan pekerja yang ketara juga didapati berlaku di sektor pembinaan.


Mengulas lanjut, Mohd Uzir berkata, bilangan bekerja sendiri terus menurun sejak Mac 2020.


Katanya, pada Mei 2020, kumpulan ini adalah seramai 2.42 juta orang, berkurang 161,500 orang berbanding April 2020.


"Kebanyakannya adalah bekerja secara gaji harian di pasar tani, pasar malam dan gerai makanan, pekerja bebas dan serta pekebun kecil.


"Oleh kerana fasa PKP Pemulihan (PKPP) masih tidak membolehkan perniagaan mereka beroperasi seperti biasa, kumpulan bekerja sendiri ini telah dan berisiko tinggi terhadap kehilangan pekerjaan dan pendapatan," katanya.


Merumuskan keseluruhan situasi tenaga buruh, Mohd Uzir berkata, indikator ekonomi pada Mei 2020 menunjukkan peningkatan berbanding April 2020 dan ini memberi isyarat keadaan ekonomi yang beransur pulih secara berperingkat.


Sehubungan itu, tegasnya walaupun trend negatif penawaran buruh berterusan hingga Mei 2020, keadaan ini adalah lebih baik dibandingkan dengan April 2020.


Beliau berkata, dijangkakan dengan penguatkuasaan PKPP mulai 10 Jun 2020, keadaan perniagaan akan semakin pulih berikutan lebih banyak sektor dibenarkan beroperasi dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.


"Pelaksanaannya membolehkan momentum perniagaan kembali semula, manakala peluang perniagaan baharu juga akan muncul berikutan perubahan permintaan selaras dengan norma baharu.


"Ini seterusnya, dijangka akan dapat mengekalkan pekerjaan, mewujudkan peluang pekerjaan baharu dan meningkatkan pengambilan pekerja.


"Selaras dengan perkembangan ini, dalam jangka masa pendek, keadaan tenaga buruh pada Jun 2020 dijangka akan lebih baik dan berterusan hingga separuh kedua 2020," katanya.



Sumber: Berita Harian

1 view0 comments