Kaedah papar aset Jemaah Menteri akan ditetapkan


KUALA LUMPUR: Paparan jumlah aset dan pendapatan Jemaah Menteri yang sudah diisytihar di portal Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), hanya akan dibuat selepas Kabinet memutuskan kaedah baharu berhubung perkara itu.


Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Takiyuddin Hassan, berkata paparan itu boleh diakses sesiapa sahaja termasuk orang awam.


"Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 11 Mac lalu mengumumkan semua Jemaah Menteri perlu mengisytiharkan harta dan seterusnya akan dipaparkan di portal SPRM yang boleh diakses oleh semua orang.


"Paparan hanya akan dibuat selepas Kabinet memutuskan satu kaedah baharu dalam paparan mengenai jumlah harta dan pendapatan yang sudah diisytiharkan," katanya dalam jawapan bertulis kepada soalan Wong Kah Woh (PH-Ipoh Timur) di Dewan Rakyat, hari ini.


Kah Woh meminta kerajaan menyatakan sama ada anggota Kabinet ketika ini dikehendaki mengisytihar harta secara terbuka dan dipaparkan di laman sesawang SPRM.


Takiyuddin berkata, SPRM adalah platform paparan harta melalui laman sesawang dan bukan menjadi tanggungjawab suruhanjaya itu untuk memaksa mana-mana pihak mengisytiharkan harta mereka.


"Pengisytiharan harta mula diperkenalkan kerajaan melalui Kod Etika Anggota Pentadbiran dan Ahli Parlimen pada Disember 2018.


"Ia diikuti usul pengisytiharan harta yang dipersetujui di Dewan Rakyat pada 1 Julai 2019 dan di Dewan Negara pada 22 Julai 2019 dengan objektif mewujudkan negara bebas rasuah," katanya.


Dalam pada itu, beliau berkata 43 Ahli Parlimen belum mengisytiharkan harta setakat 6 Julai lalu.




Sumber: Berita Harian

0 views0 comments
COntact us
  • Grey Twitter Icon
  • Grey Facebook Icon
  • Instagram

© 2020 by The Pillar News.