Kalau lari hangus RM1 juta



PEMILIK baharu The Red Warrior (TRW) perlu berfikir dua kali untuk 'cabut' apabila Persatuan Bolasepak Kelantan (Kafa) meletakkan syarat supaya individu berkenaan membayar RM1 juta sebagai cagaran sebaik mengambil alih kepimpinan pasukan itu.


Keputusan berkenaan perlu dilaksanakan demi memastikan Kafa tidak terkena lagi, sekali gus mahu individu terbabit lebih bertanggungjawab terutama ketika pasukan mengalami krisis atau berdepan cabaran.


Ini bermakna jika individu berkenaan meninggalkan pasukan begitu saja tanpa sebarang penjelasan atau sebab munasabah, wang cagaran terbabit hangus tanpa boleh dituntut.


Setiausaha Agung Kafa, Hussin Deraman berkata, pihaknya akan meletakkan klausa atau terma yang lebih jelas kepada individu berkenaan supaya tidak meninggalkan pasukan tanpa sebarang perbincangan.


Beliau berkata, setakat ini, proses perbincangan bersama individu yang berminat untuk mengambil alih Kelantan berjalan lancar dan kemungkinan ada berita gembira kepada penyokong Kelantan selepas ini.


"Apa yang berlaku kepada TRW sebelum ini menjadi pengajaran kepada Kafa untuk lebih berhati-hati bagi memastikan perkara sama tidak berulang terutama apabila ada syarikat yang tidak jadi mengemudi pasukan sebelum saingan liga bermula.


"Wang cagaran RM1 juta itu akan dipegang oleh pemegang taruh dan jika pemilik melarikan diri boleh digunakan untuk menyelesaikan beberapa pembayaran terutama berkaitan gaji," katanya ketika dihubungi Arena Metro.


Sebelum itu, Arena Metro melaporkan tiga syarikat berminat memiliki pasukan berkenaan selepas bekas pemain Kelantan yang bermastautin di Amerika Syarikat, Wan Kamal Wan Napi menarik diri.


Daripada tiga calon berkenaan, satu daripadanya adalah usahawan burger dan pemilik rangkaian hotel, Norizam Tukirman atau lebih dikenali sebagai Zamsaham.


Kafa meletakkan nilai RM3 juta kepada mana-mana pihak yang berminat membeli TRW, royalti RM1 juta setahun manakala geran tahunan dan pendapatan hasil jualan cenderahati menjadi pemilik pembeli baharu.



Sumber: Harian Metro

0 views0 comments
COntact us
  • Grey Twitter Icon
  • Grey Facebook Icon
  • Instagram

© 2020 by The Pillar News.