Kamera keselamatan 'DIY'


PENGGUNA hari ini sangat mementingkan soal keselamatan dan penggunaan kamera untuk mengawasi keadaan persekitaran rumah mahupun dalam rumah sudah menjadi keperluan dan ia bukan kelas gajet untuk golongan 'ada-ada' saja.


Trend penggunaan kamera keselamatan secara pasang sendiri atau 'DIY' ini semakin meningkat namun tidak banyak jenama di pasaran yang menawarkan rakaman video berkualiti dengan harga kurang RM150.


Kamera keselamatan ini bukan saja sebagai aksesori tambahan di dalam atau kawasan persekitaran rumah sebaliknya menjadi keperluan untuk setiap rumah mempunyai satu sistem rakaman video untuk tujuan keselamatan serta bahan bukti jika berlaku kejadian jenayah.


Menyentuh aspek kamera keselamatan ini, mungkin kebanyakan orang akan melihat kepada sistem pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) dan pemasangan sistem berkenaan memerlukan kos agak tinggi.


Ia tidak boleh dipasang sendiri oleh pengguna yang kurang pengetahuan berhubung sistem berkenaan.


Namun, bagaimana pula jika pengguna diberi pilihan untuk menggunakan kamera keselamatan yang boleh melakukan pemantauan 24 jam menerusi telefon pintar dan pemasangan dengan prosedur mudah umpama A - B - C.

Pastinya, ia akan menjadi pilihan kerana semua aturan boleh dibuat menerusi peranti mudah alih peribadi.


Untuk itu, menulis mencadangkan kepada pengguna untuk melihat kamera keluaran EZVIZ model C1C yang menawarkan dua variasi iaitu model C1C dengan resolusi 1080p pada harga RM129 manakala untuk 720p pada harga RM95 saja dan kualiti video serta imej rakaman produk EZVIZ adalah sangat mengagumkan.


Secara umumnya, EZVIZ C1C adalah kamera keselamatan yang mampu untuk merakam video secara jelas dan ia lebih ideal untuk pemasangan dalam rumah.


Peranti berkenaan didatangkan dengan keupayaan sensor pergerakan termasuk keupayaan lensa rakaman pandangan malam atau 'Night Vision'.


Selain itu, model C1C dilengkapi dengan dua arah audio dan pengguna boleh menyambungkan kamera berkenaan serta kamera itu mengandungi pembesar suara untuk memancarkan suara pengguna dari jarak jauh.


Pengguna boleh menambah jumlah storan bagi kamera ini sehingga 256GB untuk kad MikroSD atau untuk penggunaan optimum boleh melakukan pembelian berasingan untuk EZVIZ Perakam Rangkaian Video (NVR).

Lebih menarik adalah pengguna boleh menyimpan video berkenaan secara awanan dengan langganan EZVIZ CloudPlay untuk pakej tujuh hari rakaman secara tahunan sebanyak RM169.99 atau bulanan RM16.99.


Pengguna juga boleh memilih langganan 30 hari rakaman secara tahunan pada kadar RM289.99 atau bulanan RM28.


Ia penting jika rakaman berkenaan mengandungi imej atau video penting terutama berkaitan kejadian jenayah.


Penulis memuji kaedah pemasangan yang ditawarkan oleh EZVIZ yang mudah kerana pengguna tidak memerlukan pakar teknikal untuk memasang kamera ini sebaliknya hanya mengikut aturan dalam aplikasi EZVIZ dan kamera sudah boleh berfungsi dengan optimum.

Menyentuh aspek kualiti video, C1C menawarkan kualiti video premium walaupun dalam keadaan pencahayaan yang sangat kurang namun masih mampu melakukan rakaman video yang sangat jelas.

Untuk sensor pergerakan, pengguna mempunyai pilihan untuk meningkatkan sensitiviti sensor berkenaan atau mengurangkannya berdasarkan kesesuaian keadaan sekeliling dan notifikasi dihantar menerusi aplikasi berkenaan jika didapati wujud pergerakan tertentu. Secara keseluruhannya, produk kamera DIY keluaran EZVIZ model C1C adalah yang terbaik dalam kelasnya dan penulis memberi sokongan penuh kepada pengguna yang mencari kamera keselamatan untuk dipasang.

Tanpa memerlukan pemasangan yang rumit, C1C boleh dioperasikan hanya mengikut aturan atau langkah mudah dan pengguna boleh terus menggunakannya.





Sumber: Harian Metro

0 views0 comments

Recent Posts

See All
COntact us
  • Grey Twitter Icon
  • Grey Facebook Icon
  • Instagram

© 2020 by The Pillar News.