‘Kantoi’ curi alat ganti motosikal menerusi CCTV



BUTTERWORTH: Tindakan dua lelaki mencuri alat ganti motosikal bernilai RM230 dari sebuah kedai di Kepala Batas dekat sini terbongkar selepas dua minggu apabila perbuatan jenayah mereka dirakam kamera litar tertutup (CCTV).


Berdasarkan bukti itu, polis kemudiannya berjaya menahan suspek berusia 29 dan 30 tahun kira-kira pukul 11 malam tadi di sebuah bengkel motosikal di daerah sama selepas menerima laporan daripada seorang peniaga lelaki berusia 27 tahun.


Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor berkata, kejadian itu disedari selepas mangsa mendapati komponen ‘camshaft’ di kedainya hilang ketika dia membuat semakan stok kira-kira pukul 10.30 pagi semalam.


“Dia yang meneliti rakaman CCTV mendapati dua suspek berkenaan ke kedai itu kira-kira pukul 4.30 petang dua minggu lalu sambil berpura-pura melihat ‘camshaft’ di kaunter pameran.


“Mereka kemudiannya beredar selepas salah seorang menyembunyikan komponen itu yang dianggarkan bernilai RM230,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.


Noorzainy berkata, hasil tangkapan itu, polis berjaya menemukan semula ‘camshaft’ yang dicuri tersebut dan merampasnya bersama kotak berwarna oren.


“Siasatan awal mendapati kedua-dua suspek yang mempunyai pelbagai rekod jenayah lampau mengaku terlibat dalam kegiatan itu dan ujian saringan air kencing juga mendapati mereka positif syabu,” katanya lagi.


Beliau berkata, suspek akan direman hari ini untuk disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan.



– UTUSAN ONLINE

0 views0 comments