Kedai kopi Tai Tong satukan semua kaum



KANGAR: Secawan kopi, telur separuh masak dan nasi lemak antara yang menjadi tumpuan para pelanggan pelbagai kaum di Kedai Kopi Tai Tong yang terletak di Jalan Sekolah Derma di sini.


Melihat tiga kaum khususnya Melayu, Cina serta India makan, minum dan berbual bersama di sebuah meja di kedai yang wujud sejak 65 tahun lalu itu, sudah menjadi perkara biasa.


Di situlah tempatnya di mana masyarakat pelbagai kaum dari seluruh negeri ini berkumpul bukan sahaja untuk mengisi perut, sebaliknya memupuk semangat perpaduan.


Pemilik kedai tersebut, Lim Peng Chuan, 60, berkata, pelanggannya terdiri daripada semua kaum yang memenuhi ruang kedai yang dibuka setiap hari dari pukul 7 pagi hingga 4 petang.


Dia yang merupakan generasi kedua kedai berusia puluhan tahun itu berkata, selalunya, di sebuah meja, semua kaum ada rancak berbual sesama mereka sambil menjamu selera.


Katanya, makanan yang dijual di sini turut menampilkan cita rasa tiga kaum seperti nasi lemak, roti canai, capati, tosei dan banyak lagi.


“Setiap hari kedai penuh khususnya pada waktu pagi. Semua kaum ada datang makan dan minum. Di sini, boleh dilihat bagaimana perpaduan sesama kaum cukup baik dan mesra,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.


Tambahnya, di Perlis, ma­syarakat pelbagai kaum hidup seperti sebuah keluarga dan berharap hubungan tersebut terus kekal dengan baik bukan sahaja di sini sebaliknya di seluruh negara.


Sementara itu, seorang pe­langgan, Dani Ahmad, 40, ber­kata, sebelum pergi kerja, dia akan singgah terlebih dahulu di kedai tersebut untuk sarapan bersama rakan-rakan lain.


“Kedai ini wujud sudah lama. Kalau hendak tengok semua kaum berkumpul, bolehlah te­ngok di kedai kopi ini,” katanya.

Terry Kang, 39, pula berkata, dia bersama rakan-rakan se­kerja terdiri daripada pelbagai kaum boleh dikatakan setiap hari bersarapan di sini dengan menu kegemarannya adalah nasi lemak.



– Sumber: UTUSAN

2 views0 comments