Kedai 'RM2' semakin jadi tumpuan pengguna



INDUSTRI peruncitan Malaysia tahun ini mencatatkan kadar pertumbuhan paling lemah. Ia berikutan ancaman pandemik COVID-19 dan keadaan ekonomi yang agak sukar, sama ada dalam atau luar negara.


Banyak perniagaan terkesan, malah ada yang terpaksa ditutup akibat persekitaran operasi yang sangat mencabar.


Namun, lain pula hanya dengan kedai serbaneka RM2 yang dilihat semakin berkembang dan terkenal. Malah, diunjurkan kadar jualan akan terus meningkat positif.


Hakikatnya, banyak faktor yang menarik minat pelanggan untuk terus mengunjungi dan berbelanja di kedai serbaneka.


Pertama sekali, tentunya disebabkan harga murah yang menjadi faktor utama, ditambah keadaan ekonomi yang agak sukar membuatkan pelanggan mula mencari alternatif untuk berbelanja secara bijak dan berhemah.


Bukan itu sahaja, pelanggan kini tidak malu lagi untuk berbelanja di kedai serbaneka RM2.


Tambahan lagi, barangan dijual di kedai sebegini boleh dikatakan berkualiti dan setanding barang dijual di pasar raya atau kedai serbaneka lain.


Selain itu, faktor penarik bagi kedai serbaneka RM2 adalah kemampuan mereka untuk memahami kehendak pelanggan. Kedai ini menyediakan kepelbagaian, kelainan dan keunikan barangan seperti penjagaan muka dan badan, makanan ringan, minuman, aksesori hiasan, alat tulis, mainan, peralatan dapur, barangan plastik dan banyak lagi.


Lebih menarik, ada pula yang sudah mula melebarkan jaringan perniagaan dengan membuka kedai roti.


Kedai berkonsep kafe ini menjual pelbagai jenis roti, kek, minuman dan pencuci mulut seperti aiskrim.


Pembukaan kedai roti adalah tindakan yang bijak. Ini penting untuk memenuhi kehendak pelanggan selari dengan budaya minum kopi yang semakin pesat berkembang di Malaysia.


Akhirnya, pemilihan lokasi juga memainkan peranan penting bagi menarik minat pelanggan mengunjungi kedai serbaneka RM2.


Kebanyakan kedai ini terletak di lokasi strategik dan berdekatan kawasan perumahan. Malah, sesetengah kedai sebegini sudah mula beroperasi dalam pusat beli-belah.


Natijahnya, perkembangan dan pertambahan kedai serbaneka RM2 akan memberikan persaingan sengit antara kedai ini. Namun, ini memberi kelebihan kepada pelanggan untuk memilih kedai serbaneka RM2 yang mampu memberikan perkhidmatan terbaik dan barangan berkualiti.


Dr Muhammad Majid, Pensyarah Kanan Universiti Teknologi MARA (UiTM) Johor



Sumber: Berita Harian

1 view0 comments