Kemasukan pelajar UNIMAS kekal Oktober



KOTA SAMARAHAN: Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) belum memutuskan untuk menangguhkan tarikh kemasukan pelajar ke universiti berkenaan berikutan pandemik COVID-19.


Naib Canselornya, Prof Datuk Dr Mohd Kadim Suaidi, berkata ketika ini pihaknya kekal dengan jadual asal kemasukan pelajar Oktober ini.


Beliau berkata, ia membabitkan program prasiswazah baharu dan pelajar sedia ada pada Semester Satu, Sesi 2020/2021.


"Sesi kemasukan pelajar tahun pertama program prasiswazah UNIMAS masih diteruskan mengikut tarikh yang ditetapkan sebelum ini iaitu 5 hingga 8 Oktober depan.


"Tarikh kemasukan bagi pelajar baharu prauniversiti UNIMAS adalah pada 1 hingga 5 September dan bagi pelajar siswazah (secara kerja kursus) adalah pada 7 hingga 9 Oktober ini," katanya.


Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan berhubung penangguhan kemasukan pelajar universiti awam (UA) di Kedah dan Sarawak berikutan pandemik COVID-19.


Mohd Kadim berkata, pelajar semasa UNIMAS akan memulakan sesi pembelajaran pada 12 Oktober menggunakan sistem pembelajaran dalam talian sepenuhnya.


"Saya ingin memaklumkan UNIMAS sentiasa mengambil berat soal kebajikan pelajar dan akan terus memantau perkembangan situasi terkini.


"Kementerian Pengajian Tinggi turut memaklumkan pendaftaran pelajar hanya ditunda sekiranya berlaku peningkatan kes penularan wabak COVID 19," katanya.


Beliau berkata, sebarang keputusan lanjut akan diumumkan kemudian, tertakluk kepada perubahan arahan Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri.


Katanya, ibu bapa atau pelajar boleh mendapatkan perkembangan lanjut dengan menghubungi Pusat Pengajian Pra-Universiti menerusi e-mel pppu@unimas.my atau hubungi 082-582331/ 082-582332/ 082-582333 dari Isnin hingga Jumaat, 8 pagi hingga 5 petang.


Sebarang pertanyaan berhubung perkara berkaitan boleh juga diajukan kepada Bahagian Pengajian Prasiswazah menerusi adminbpps@unimas.my atau hubungi 082-581166 atau Pusat Pengajian Siswazah dengan e-mel cgs_general@unimas.my atau hubungi 082-581053.



Sumber: Berita Harian

0 views0 comments