Kempen sedia rakyat tempatan peluang pekerjaan


KUALA LUMPUR: Kempen Beli Barangan Buatan Malaysia dan Shop Malaysia Online akan membantu meningkatkan ekonomi negara serta peniaga dan industri tempatan, sekali gus membuka peluang pekerjaan kepada rakyat negara ini.


Timbalan Presiden Gabungan Persatuan-persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Mohd Yusof Abdul Rahman, berkata ia susulan keutamaan yang lebih kepada barang tempatan akan membolehkan pengilangan dan perniagaan domestik untuk terus berdaya saing dalam tempoh sukar, susulan penularan COVID-19.


"Beri keutamaan kepada barang tempatan ialah perkara wajar dalam meningkatkan ekonomi negara. Banyak industri ketika ini berdepan masalah.


"Bila ada kempen sebegini, ia membantu mereka," katanya.


Mengulas lanjut, Mohd Yusof berkata, kempen beli secara dalam talian dan penggunaan e-dompet juga membolehkan kawalan penyebaran pandemik COVID-19 kerana ia dijalankan tanpa bersentuhan.


"Penggunaan digital juga secara tidak langsung akan meningkat dan berkembang di negara kita. Ia akan membuka banyak peluang kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) menceburi segmen digital.


"Pengguna juga dapat menikmati alternatif lain dalam perbelanjaan mereka," katanya.


Mohd Yusof berkata, dalam keghairahan menuju ke arah transaksi digital, kawalan harga dan peningkatan infrastruktur juga perlu dilaksanakan.


Beliau berkata, barang dalam talian seharusnya lebih murah berbanding jualan konvensional di premis dan pengguna juga perlu bijak membandingkan harga.


"Begitu juga dengan infrastruktur rangkaian perlu dipertingkat bagi memudahkan pengguna luar bandar dalam transaksi digital.


"Kesedaran dan maklumat juga perlu disalurkan, memberi pengguna kefahaman kaedah menggunakan perkhidmatan dalam talian," katanya.


Melalui Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) kerajaan memperkenal beberapa inisiatif baru antaranya Shop Malaysia Online , E-penjana, Buy Malaysia.


Inisiatif itu membantu rakyat dan pengguna dalam keadaan ekonomi ketika ini yang suram disebabkan wabak COVID-19.


Katanya, inisiatif PENJANA khusus untuk dinikmati pengguna ialah bukti kerajaan sentiasa peka dengan kehendak rakyat.


"Ia usaha yang sangat dialu-alukan memberi kelegaan kepada pengguna. Banyak inisiatif lain turut diberikan kepada pengguna seperti pas perjalanan tanpa had, MY30.


"Program e-PENJANA bernilai RM750 juta bermula Julai ini juga memberi peluang semua rakyat merasai bantuan kerajaan.


"Hasilnya, perniagaan PKS juga turut meningkat sama. Apabila PKS meningkat, peluang pekerjaan itu akan stabil," katanya.




Sumber: Berita Harian

1 view0 comments
COntact us
  • Grey Twitter Icon
  • Grey Facebook Icon
  • Instagram

© 2020 by The Pillar News.