Kerahsiaan pesakit adalah keutamaan



Kuala Lumpur: Tindakan seorang doktor pakar di Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mendedahkan identiti pesakit kepada umum dengan merujuk kepada individu ternama di Sabah yang dimasukkan ke Hospital Queen Elizabeth (HQE) di Kota Kinabalu, Sabah adalah menyalahi tataetika seorang doktor perubatan.


Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata kerahsiaan pesakit menjadi keutamaan bagi profesion perubatan dan KKM sentiasa menekankan perkara itu.


"Saya harapkan ini bukanlah satu kebiasaan yang doktor amalkan kerana KKM sememangnya bergantung kepada pegawai perubatan pakar untuk mendidik pegawai perubatan dan pegawai perubatan siswazah.


"Doktor juga agak arif dengan selok-belok di HQE namun kemungkinan perlu menyemak kembali protokol pengendalian Pesakit Bawah Siasatan (PUI) yang disahkan Covid-19 ke hospital Covid-19," katanya.


Beliau berkata demikian mengulas warkah Dr Tachdjian kepada Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, Cukuplah abah, anak-anak derita yang mendedahkan Ketua Menteri Sabah Datuk Hajiji Noor positif Covid-19 dan dirawat di HQE serta situasi semasa di hospital berkenaan termasuk petugas kesihatan yang dikuarantin kerana dijangkiti pandemik tersebut.


Dr Noor Hisham berkata kes disahkan status jangkitan positif Covid-19 dan didapati stabil akan dimasukkan terus ke wad Covid-19, dan protokol yang sama digunakan untuk semua kes tanpa mengira status kes dalam masyarakat.


Beliau berkata terdapat kemungkinan berlaku situasi kes perlu menunggu katil dikosongkan di wad Covid-19 yang berlaku dari semasa ke semasa.


Mengulas mengenai peningkatan kes Covid-19 di Sabah, Dr Noor Hisham berkata data kes harian yang dibentangkan setiap hari serta mesyuarat harian bersama perdana menteri dan Sidang Media Covid-19 kini dilakukan secara 'sidang video'.


"Saya sudah menerangkan tindakan kerajaan bagi memastikan kapasiti ujian di makmal, peningkatan jumlah katil bagi kes Covid-19 mencukupi, pembelian peralatan dan pengagihan alat bantuan pernafasan.


"Pada awalnya, petugas di Kota Kinabalu digerakkan untuk membantu hospital di daerah timur Sabah serta pusat-pusat kuarantin dan rawatan Covid-19 berisiko rendah. KKM turut menggerakkan petugas kesihatan daripada negeri ke Sabah dan ditempatkan di hospital di Kota Kinabalu bagi menggantikan lompong keperluan petugas di Kota Kinabalu," katanya.


Katanya, situasi lebih mencabar apabila petugas kesihatan juga dijangkiti Covid-19 daripada komuniti, tempat kerja, rakan setugas atau semasa pengendalian kes itu.



- Sumber: Harian Metro

0 views0 comments
COntact us
  • Grey Twitter Icon
  • Grey Facebook Icon
  • Instagram

© 2020 by The Pillar News.