Kerajaan gagal lucut hak RM114 juta disita dari Pavilion Residences




KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi hari ini menolak permohonan kerajaan untuk melucut hak wang tunai lebih RM114 juta yang disita polis di Pavilion Residences selepas pilihan raya 2018.


Hakim Muhammad Jamil Hussin berkata Jabatan Peguam Negara (AGC) gagal membuktikan bahawa RM114 juta itu ada kaitan dengan skandal penyelewengan dana 1MDB.


Beliau berkata pihak pendakwaan gagal membuktikan bahawa wang tunai yang dirampas adalah dana yang diperoleh dari kesalahan pecah amanah (CBT).


Bagaimanapun mahkamah tidak mengeluarkan perintah untuk memastikan wang tersebut akan diberikan kepada pihak ketiga, Umno dan bekas presiden parti itu, Najib Razak.


Kerajaan mahu melucut hak wang tunai RM114,164,393.44 dan barang kemas serta barangan berjenama yang dirampas dari premis milik Obyu Holdings Sdn Bhd, tiga tahun lalu. Mereka mendakwa wang dan barangan itu ada kaitan dengan 1MDB.


Jamil juga berkata pihak pendakwaan tidak mengemukakan bukti bagaimana sebahagian daripada wang tunai RM114 juta yang disita ditukar menjadi mata wang asing.


“Kenyataan saksi yang direkodkan hanya menyebut mereka menggunakan wang yang diterima dari akaun Ambank tetapi langsung tidak menyebut mengenai pertukaran ringgit Malaysia ke mata wang lain,” tambahnya.



Pendakwaan akan merayu, mahu sekat keputusan mahkamah


Selepas mendengar keputusan mahkamah, timbalan pendakwa raya Mohd Saifuddin Hashim Musaimi berkata pihak pendakwaan akan membuat rayuan terhadap keputusan tersebut dan memohon perintah penangguhan.


Saifuddin berkata, susulan keputusan itu, polis perlu mengembalikan wang tunai tersebut tetapi tidak dapat menentukan pihak ketiga mana wang itu perlu dikembalikan, Umno atau Najib. Wang itu kini disimpan di Bank Negara Malaysia (BNM).


Jamil berkata, mahkamah tidak ada kuasa untuk mengeluarkan perintah berhubung siapa yang sepatutnya menerima wang tersebut.


Saifuddin bertegas untuk mendapatkan perintah penangguhan sementara untuk mengekalkan status quo wang tunai yang disita itu, tetapi Jamil berkata “tiada apa yang perlu ditangguhkan”.


“Penangguhan interim juga ditolak,” kata Jamil.


Sementara itu, ketua peguam Umno Hariharan Tara Singh memberitahu wartawan sejak permohonan melucut hak ditolak, wang itu perlu dikembalikan kepada Najib.


“Lambat laun ia akan diselesaikan di antara mereka. Mahkamah tidak sepatutnya diganggu dengan isu lain selain permohonan tersebut,” tambahnya.



--Sumber: Free Malaysia Today

0 views0 comments

Recent Posts

See All