Kerajaan pandang serius kerajaan negeri ingkar



DAKWAAN kerajaan memulakan semula ekonomi melalui Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dalam keadaan tergesa-gesa adalah tidak benar dan tidak berasas, kata Menteri Kanan, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.


Beliau yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) berkata, kerajaan sudah melaksanakan langkah pembukaan ekonomi secara berperingkat mulai 18 Mac hingga 28 April di dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Tahap Satu hingga Tiga dengan pematuhan syarat kesihatan.


Katanya, perlaksanaan PKP ini membabitkan seluruh negara, termasuk negeri di Semenanjung, Wilayah Persekutuan, Sarawak dan Sabah yang mengambil kira kepentingan dan keutamaan kesihatan serta kesejahteraan rakyat dan memastikan keperluan menjana semula ekonomi.


"Keputusan kerajaan memulakan semula ekonomi (melalui PKPB) berdasarkan tanda aras Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang menggariskan enam kriteria utama iaitu kawalan keselamatan, kawalan pergerakan, kemampuan sistem kesihatan, kemampuan melindungi golongan berisiko tinggi, mengamalkan kebiasaan baharu dan kemampuan melaksanakan langkah pencegahan dalam komuniti.


"Sehubungan itu, kerajaan memandang serius terhadap pendirian beberapa kerajaan negeri yang ingkar untuk melaksanakan keputusan (perlaksanaan PKPB) ini," katanya dalam kenyataan, hari ini.


Mohamed Azmin berkata, tindakan kerajaan negeri berkenaan tidak bersandarkan kepada punca kuasa yang sah di bawah mana-mana undang-undang dan bercanggah dengan dasar Kerajaan Persekutuan.


Lebih-lebih lagi, katanya, dasar Kerajaan Persekutuan sudah pun dijadikan undang-undang yang berkuat kuasa di seluruh negara dan sah dari segi undang-undang.

Katanya, Akta Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) dikuatkuasakan berikutan persetujuan negeri pada masa itu, termasuklah Sabah dan Sarawak untuk mewujudkan keseragaman undang-undang bagi tujuan mencegah dan mengawal penyakit berjangkit di seluruh negara.


"Tindakan yang teliti dan berhati-hati menunjukkan hasil baik khususnya dalam aspek penambahbaikan sektor ekonomi dan pada masa sama, tidak menjejaskan usaha kerajaan membendung penularan Covid-19.


"Sekiranya kerajaan negeri tidak memberikan kerjasama melaksanakan Akta 342 yang dijadikan undang-undang di seluruh negara, kerajaan negeri berkenaan mungkin terdedah kepada tindakan undang-undang daripada pelbagai pihak, khususnya pihak industri," katanya.


Justeru, beliau menyeru kerajaan negeri untuk bekerjasama dalam melaksanakan keputusan Kerajaan Persekutuan supaya negara dapat menjana semula keupayaan ekonomi.



Sumber: Harian Metro

2 views0 comments
COntact us
  • Grey Twitter Icon
  • Grey Facebook Icon
  • Instagram

© 2020 by The Pillar News.