Kereta terjunam: Anak lemas ketika cuba selamatkan ibu



Bandar Baharu: Hanya dua jasad ditemui dalam Proton Persona yang terjunam ke dalam Tasik Lake Resort Serdang, semalam.


Komander Operasi, Mohd Hafiz Suhaimi berkata, berdasarkan maklumat yang diterima sebelum ini, terdapat empat mangsa dalam kereta berkenaan yang dilaporkan terjunam jam 6 petang tadi.


Beliau berkata, hasil selaman yang dilakukan anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) mendapati hanya dua mangsa ditemui terperangkap dalam kereta berkenaan.


"Dua mangsa terbabit yang juga dua beranak, Nor Aiza Hashim, 28, dan ibunya, Hasmah Mat Isa, 68, ditemui terperangkap dalam pintu yang tertutup.


"Jarak dari tebing ke tasik kira-kira 10 meter pada kedalaman kira-kira lima meter," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian hari ini.


Turut serta dalam operasi itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Serdang, Mohd Faiz Helmi.


Mohd Hafiz berkata, kedua mangsa terbabit dipercayai lemas dalam kenderaan itu.


Beliau berkata, pihaknya dimaklumkan Nor Aiza yang berada di luar kenderaan cuba menyelamatkan ibunya selepas kereta itu terjunam ke tasik.


"Ketika itu empat orang awam cuba membantu menyelamatkan dua beranak berkenaan namun gagal sebelum pasukan bomba tiba di lokasi," katanya.


Mohd Hafiz berkata, Proton Persona itu berjaya dinaikkan jam 11.02 malam dan kedua-dua mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.


Dalam kejadian petang semalam, sebuah Proton Persona dilaporkan terjunam ke dalam Tasik Lake Resort, Serdang.


Berikutan itu, pasukan bomba berusaha mencari mangsa yang dipercayai berada dalam kereta berkenaan.



--Sumber: Harian Metro

0 views0 comments