Konsep radikal, realistik



BAGI penggemar permainan 'survival' atau mungkin mahu pengalaman pertempuran secara ramai (Battle Royale) yang lebih realistik daripada aspek mekanik permainan, boleh mencuba judul Escape From Tarkov yang dibangunkan oleh Battlestate Games.


Namun, penulis ingin mengingatkan kepada pemain yang mahu mencuba permainan ini supaya bersabar untuk puluhan jam pertama memandangkan ia bukanlah satu genre permainan 'survival' atau 'battle royale' biasa dan pemain perlu menghabiskan masa yang lama untuk mula memahami mekanik permainan termasuk senjata.


Secara ringkasnya, penulis boleh meletakkan Escape From Tarkov sebagai satu judul yang menawarkan permainan yang unik, mengecewakan, mencabar dan menghukum pemain yang alpa dengan keadaan persekitaran dan ia bukan genre untuk pemain kasual yang mahu merehatkan minda dengan bermain judul berkenaan.


Walaupun kepada penulis, ia bukan genre kesukaan memandangkan setiap pemain perlu mengetahui latar kedudukan sesebuah peta dan mula untuk mencari senjata dan dalam masa sama perlu sentiasa memerhatikan keadaan sekeliling untuk tidak menjadi mangsa.


Judul ini lebih mengutamakan genre 'survival' berbanding 'battle royale' namun elemen berkenaan masih ada apabila pemain perlu mencari jalan keluar dalam sesebuah peta dan berdepan dengan pemain lain yang turut mempunyai misi yang sama.

Objektif permainan ini bukanlah bertempur secara berdepan sebaliknya hanya menggunakan senjata jika perlu saja. Elemen berkenaan tidak banyak digunakan dalam judul permainan pada waktu ini dan Battlestate Games antara pembangun yang berani menggunakan mekanik 'hardcore' berkenaan untuk kepuasan permainan.


Jika menyentuh aspek fizik persenjataan, penulis boleh menyatakan ia sangat mirip dengan senjata di dunia asal daripada aspek kesukaran untuk membidik dan melepaskan tembakan. Setiap senjata mempunyai daya henjutan (recoil) yang berbeza dan pemain perlu untuk memahaminya terlebih dulu sebelum memikirkan untuk menang dalam setiap sesi permainan.


Judul ini juga hanya menggunakan beberapa konsep 'battle royale' seperti pertempuran dengan pemain lain dalam peta yang sama namun jumlah pemain untuk sesuatu peta tidaklah sebanyak judul lain dan masih mengutamakan konsep 'survival' yang menjadi nadi utama judul terbabit.


Escape From Tarkov bukan permainan yang baru dilancarkan sebaliknya ia sudah ada di pasaran lebih enam bulan lalu namun ia kurang mendapat perhatian bagi pemain tempatan memandangkan konsep yang ditonjolkan sangat berbeza namun kini, sudah semakin ramai penggemar sukan elektronik tempatan yang mula bermain judul berkenaan.


Secara keseluruhannya, penulis perlu memberi penghargaan kepada pembangun permainan kerana berjaya mencipta satu judul yang sangat 'radikal' namun ia bukanlah untuk kebanyakan pemain. Ia hanya direka untuk segelintir pemain yang benar-benar suka akan cabaran dan mekanik sebenar.




Sumber: Harian Metro

0 views0 comments