Kutip 'ufti' jutaan ringgit



Kutip wang 'ufti' jutaan ringgit daripada pengusaha lori yang melakukan pelbagai kesalahan jalan raya sejak dua tahun lalu.


Itu antara tindakan segelintir pegawai Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang berjaya dibongkar Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) susulan operasi besar-besaran di lima negeri sejak kelmarin.


Sumber berkata, hasil tindakan bersama Bahagian Integriti JPJ itu, seramai 44 individu ditahan kerana dipercayai terbabit dalam sindiket melindungi pemandu lori yang melakukan kesalahan jalan raya khususnya membawa muatan berlebihan serta tidak memenuhi aspek teknikal ditetapkan.


"Mereka yang ditahan membabitkan 32 pegawai JPJ dan masing-masing seorang anggota dan bekas anggota trafik polis serta selebihnya orang awam.


"Tangkapan dilakukan hasil operasi dikenali sebagai Ops Sukat di lima negeri iaitu Kedah, Pulau Pinang, Perak, Perlis dan Melaka.


"Di Kedah, seramai lapan pegawai JPJ dan masing-masing seorang anggota polis trafik, bekas anggota trafik polis dan orang awam ditahan," katanya.


Di Pulau Pinang, seramai sembilan pegawai JPJ diberkas diikuti lapan pegawai JPJ dan empat orang awam di Perak.


"Ini diikuti tujuh pegawai JPJ dan empat orang awam di Melaka serta seorang individu di Perlis.


"Difahamkan pegawai JPJ ditahan itu membabitkan pelbagai gred termasuk pegawai kanan manakala orang awam pula berperanan sebagai proksi," katanya semalam.


Sumber berkata antara modus operandi dikesan adalah pegawai JPJ terbabit tidak akan mengambil tindakan terhadap pengusaha lori yang melakukan kesalahan jalan raya selepas menerima wang rasuah dimasukkan ke dalam akaun bank peribadi atau proksi secara bulanan.


"Mereka dipercayai menerima kira-kira RM150 hingga RM3,000 sebulan dengan nilai keseluruhan membabitkan kira-kira RM1.64 juta.


"Perbuatan ini dipercayai dilakukan mereka sejak 2019 hingga 2020," katanya.


Ketua Pesuruhajaya SPRM, Datuk Seri Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan tangkapan berkenaan.


Beliau berkata, operasi itu adalah hasil kerjasama antara SPRM dan JPJ khususnya Pejabat Ketua Pengarah JPJ dan Bahagian Integriti JPJ dalam usaha meningkatkan integriti jabatan itu.


"Ketika ini siasatan masih lagi berjalan dan SPRM tidak menolak kemungkinan akan ada beberapa lagi siri tangkapan.


"Objektif siasatan ialah tertumpu kepada kesalahan rasuah mengikut Seksyen 16 dan 17 Akta SPRM 2009 dan melibatkan isu salah laku. Kita cuba untuk lakukan siasatan secepat mungkin," katanya.


Ini adalah kes terbaharu selepas tujuh anggota JPJ Johor ditahan SPRM pada 6 Februari lalu selepas dikesan menyeleweng wang berjumlah RM3.1 juta dalam tempoh 6 bulan.


Difahamkan semua petugas kaunter JPJ Negeri Johor terbabit disiasat berhubung urusan cukai jalan Lesen Kenderaan Motor (LKM) membabitkan lebih 1,000 jenis kenderaan bermotor.


Mereka dipercayai memanipulasi sistem MYSIKAP bagi urusan cukai jalan LKM yang mana jumlah ketirisan kutipan cukai jalan JPJ Negeri Johor mencecah RM3.1 juta dalam tempoh enam bulan iaitu bermula Julai hingga Disember 2019.


SPRM turut pernah melakukan proses pemutihan JPJ apabila menahan lima anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kedah dan Perlis pada September 2016.


Semua suspek lelaki berusia di antara 34 hingga 48 tahun itu disyaki menerima suapan di antara RM100 hingga RM300 bagi melepaskan pemandu lori membawa lebih muatan di Kedah dan Perlis.



--Sumber: Harian Metro

1 view0 comments