Lagi dikecam, lagi orang tengok



WALAUPUN berdepan kecaman warganet terhadap solekan watak Opah Aminah dan aspek teknikal lain dalam drama bersiri Bukan Gadis Biasa, penerbitnya Shiela Rusly wajar berbangga apabila drama terbitannya ini mendapat sambutan hebat.


Drama bersiri terbitan JS Pictures Sdn Bhd dan arahan Azman 'Jinggo' Yahya yang ditayangkan di slot Akasia TV3 itu mencatat rekod sebagai Drama Tontonan Tertinggi sepanjang Ramadan lalu.


Ia berjaya mengumpul 11 juta penonton sepanjang 28 episod serta mencatat 27 juta tontonan digital sepanjang 28 episod menerusi saluran tonton, YouTube TV3 dan Drama Sangat.


Selain Sheila ang membawa watak Opah Aminah, ia turut dibintangi Remy Ishak, Ayda Jebat, Nazim Othman, Mas Khan, Ozlynn Waty, Lia Natalia, Ako Mustapha dan ramai lagi.


Shiela ketika dihubungi berkata, dia bersyukur kerana berjaya membuktikan drama ini mempunyai keistimewaan tersendiri. 


"Setiap kejadian itu mesti ada hikmah. Setiap kesedihan pasti ada kegembiraan. Setiap kepayahan pasti ada kesenangan. Walaupun orang kecam, cakap macam-macam pasal saya dan produksi saya, saya percaya ada benda lain yang Allah nak bagi. Jadi inilah hikmahnya.

"Saya tidak simpan dendam pun dengan sesiapa yang mengutuk, menghina, mencaci cela saya, produksi saya, suami dan pelakon-pelakon yang terbabit dalam Bukan Gadis Biasa.


Saya ucapkan terima kasih kepada mereka. Mungkin disebabkan kecaman mereka inilah Allah naikkan darjat drama ini. Saya tak ambil hati langsung dengan apa yang mereka komen di laman sosial saya, dekat forum atau blog mana-mana membincangkan berkenaan watak saya, perjalanan cerita serta kualiti cerita. Saya sikit pun tak ambil hati," katanya kepada Harian Metro.




Sheila berkata, mungkin disebabkan kelainan watak yang dia cuba ketengahkan itu membuatkan mereka terpanggil untuk menonton.


Menurutnya, walaupun ada pihak yang mencaci dramanya, mereka masih mahu menonton drama ini kerana mahu mencari lagi kelemahan dan kekurangan yang ada.


"Saya dan pasukan saya tak menafikan kami tak sempurna. Tidak ada satu drama pun kat negara kita yang sempurna termasuk terbitan saya. Kami sangat merendah diri dan berterima kasih sekurang-kurangnya mereka menonton drama saya," katanya.


Sementara itu, Ayda Jebat yang memegang watak utama sebagai Johana tidak terkejut dengan jumlah tontonan tinggi yang diraih drama ini.


"Orang tengok drama ini kerana nak tengok bahagian teknikal yang teruk dikecam. Tapi pada saya plot twist dan watak masing-masing dijaga dengan baik. Walaupun dikecam orang nak tengok juga kerana permainan watak semua pelakon memang baik," katanya.




Sumber: Harian Metro

2 views0 comments