Lelaki melacurkan isteri, anak didakwa


KUALA LUMPUR: Seorang pemandu lori akan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Antipemerdagangan Orang (ATIP), Mahkamah Klang berhubung kes melacurkan isteri dan anaknya yang berusia 13 tahun, esok.


Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Selangor, Datuk Fadzil Ahmat, berkata empat pelanggan terdiri tiga lelaki warga Pakistan dan seorang lelaki warga Bangladesh akan turut dihadapkan ke mahkamah atas kesalahan merogol.


"Suspek utama berusia 43 tahun akan didakwa mengikut Seksyen 13 (b) dan Seksyen 14 Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM) dan tiga pertuduhan mengikut Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan.


"Empat lelaki warga asing berusia antara 29 hingga 35 tahun yang melanggan mangsa yang berusia 13 tahun itu pula akan didakwa mengikut Seksyen 376 (2) Kanun Keseksaan di Mahkamah Kajang, esok," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.


Beliau berkata pada 11 Julai lalu polis menerima satu laporan daripada ibu saudara mangsa mendakwa remaja itu dirogol dan dilacurkan oleh bapanya di sebuah kondominium di Hulu Langat sejak tahun 2011.


Susulan itu, polis menahan suspek utama di Pandan Indah, Ampang serta lima lelaki termasuk warga asing di sekitar Batu 9, Cheras pada 13 Julai lalu untuk membantu siasatan.


Media sebelum ini melaporkan remaja perempuan berkenaan dirogol sejak berusia 10 tahun dan dilacurkan bapanya pada pertengahan 2019 hingga Februari lalu sebelum kejadian itu diketahui oleh ibu saudaranya.



Sumber: Berita Harian

0 views0 comments
COntact us
  • Grey Twitter Icon
  • Grey Facebook Icon
  • Instagram

© 2020 by The Pillar News.