Lelaki pakai gelang kuarantin dikompaun RM1,000 kerana makan di restoran


LUMUT, 24 Julai -- Seorang lelaki berusia 51 tahun dikompaun RM1,000 kerana ingkar arahan kuarantin di rumah selepas didapati makan di sebuah restoran di Kampung Jering, Ayer Tawar di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Manjung ACP Nor Omar Sappi berkata lelaki itu didapati memakai gelang tangan merah jambu di bawah perintah kuarantin COVID-19.

“Pemeriksaan pada gelang dipakainya mendapati kuarantin ke atasnya bermula pada 18 Julai lepas hingga 1 Ogos ini selepas pulang dari Singapura.

“Dia dapati melakukan kesalahan mengikut Peraturan 10 Peraturan-Peraturan Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan),” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Nor Omar meminta orang ramai memaklumkan kepada polis sekiranya ada individu yang memakai gelang merah jambu berada di tempat awam.

"Polis akan mengambil tindakan tegas terhadap individu yang melanggar perintah kuarantin di rumah," katanya.

-- BERNAMA




Sumber: Bernama

1 view0 comments