Lembaga Lada Malaysia berhasrat rancakkan lagi industri lada negara



KUALA LUMPUR, 8 Julai -- Rempah-ratus yang merupakan kunci kepada pengembangan perdagangan dunia beberapa kurun lepas sehinggakan pelayar terkemuka Christopher Columbus mengabdikan hidupnya mencari komoditi berharga itu, telah menyaksikan lada hitam dibawa masuk ke negara ini pada era 1840-an.

“Emas hitam” itu dibawa masuk menerusi peneroka China ke bandar dipanggil Bau di Kuching, Sarawak.


Terdapat juga kisah lain bahawa rempah diperkenalkan di sini pada awal abad ke-10 dan ke-11 apabila raja dari India Selatan mula mengembangkan empayar mereka ke sini. Tidak kiralah bagaimana kisah ia dibawa masuk ke Malaysia, raja segala rempah -- yang juga dikenali sebagai lada biji - telah ditanam di sini sejak sekian lama dan terkenal dengan kualiti premiumnya hasil daripada aroma serta rasa pedas berapinya. 

Dalam milennium ketiga, lada telah berkembang daripada hanya sekadar tanaman biasa bagi penggunaan tempatan yang menyediakan pekerjaan kepada penduduk pedalaman, telah menjadi satu daripada penyumbang utama kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK) di bawah industri pertanian. 


Penggunaannya juga dipelbagaikan daripada hanya sebagai perasa makanan kepada digunakan dalam industri farmaseutikal dan kosmetik, yang mendapatkan 98 peratus daripada keperluan lada hitamnya dari Sarawak manakala baki dua peratus dari Sabah dan negeri-negeri di Semenanjung Malaysia termasuk  Johor, Kelantan, Perak, Terengganu dan Pahang.

Keunikan Sarawak, yang mempunyai latitud yang sesuai, jumlah taburan hujan yang sesuai dan profil dan topografi tanah yang terbaik bagi penanaman lada berkualiti, menjadikannya kawasan yang sesuai bagi tanaman tersebut yang menghasilkan biji benih lima milimeter yang digunakan dengan meluas di seluruh dunia.

Pada tahun lepas, 7,375 hektar digunakan bagi penanaman lada di seluruh dunia. Negara ini menghasilkan 34,294 tan metrik lada yang menyumbang RM1.95 bilion kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK).


Walaupun angka ini minimum kerana ia hanya merangkumi 0.1 peratus daripada KDNK Malaysia, ia membuka peluang yang besar kepada Lembaga Lada Malaysia (MPB), sebuah agensi kerajaan yang ditubuhkan untuk memacu industri lada. 

Dalam tempoh beberapa tahun akan datang, industri itu dijangka rancak, meluaskan tanah yang ditanam dan meningkatkan kapasiti pengeluaran di samping menambah lebih banyak produk tokokan nilai yang boleh memberi manfaat kepada 30,000 pekebun kecil lada. Tahun lepas, Malaysia mengeksport kira-kira 9,820 tan metrik lada, menjana hasil sebanyak RM145.6 juta. Pasaran negara termasuklah Jepun, China, Taiwan, Korea Selatan, Vietnam, Singapura, Thailand dan Kesatuan Eropah.

Menerusi sokongan yang sewajarnya daripada kerajaan persekutuan dan negeri, Malaysia yang merupakan pengeluar lada kelima terbesar di dunia, menyasar menembusi pasaran baharu seperti negara-negara di Timur Tengah dan mengembangkan operasinya di pasaran sedia ada seperti Jepun, China, Singapura, Taiwan dan Korea Selatan.  MPB meningkatkan perladangan lada Ketua Pengarah MPB Stanley Liew berkata penanaman lada di Malaysia telah menunjukkan trend peningkatan sejak bertahun-tahun, justeru, lembaga itu bercadang untuk meningkatkan proses itu dengan mengajak pelabur antarabangsa ke negara ini. “Kami menggalakkan pelabur untuk datang, malah, kami telah menerima beberapa permintaan daripada pelabur.

“Saya berpendapat, ini adalah inisiatif kepada Malaysia untuk memperluas kawasan penanaman ladanya. Jika tidak, kita berisiko untuk industri ini lenyap dalam tempoh 10 hingga 15 tahun akan datang atau mungkin kita hanya menghasilkan yang secukupnya untuk penggunaan tempatan,” katanya kepada Bernama ketika ditemu bual menerusi telefon. Liew berkata Vietnam yang dilihat baharu terlibat dalam mengusahakan tanaman ini, telah berkembang dengan pantas berikutan ia membuka tanahnya kepada pelabur asing.

Berbanding Malaysia yang telah menanam lada selama hampir 200 tahun, Vietnam baharu sahaja meneroka industri itu kira-kira 15 hingga 20 tahun lepas. Namun, beliau berkata pada masa ini negara itu merupakan pengeluar lada yang utama di dunia.

“Mereka menghasilkan 200,000 hingga 300,000 tan setahun. Ia 10 kali daripada pengeluaran kita, walaupun industri kita 10 kali lebih lama,” katanya sambil menambah 60 peratus daripada tanah untuk menanam lada di Vietnam dimiliki oleh pelabur asing yang membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan.

Liew berkata China turut terlibat dalam penanaman lada, justeru, Malaysia juga perlu mengikut langkah tersebut agar tidak ketinggalan.

Beliau berkata setiap tahun, kawasan penanaman lada di Malaysia meningkat di antara 100 hektar hingga 350 hektar dengan kerajaan mensubsidi program itu kepada petani tempatan. Pada 2019, MPB memperuntukkan RM10 juta untuk mensubsidi petani dalam skim penanaman lada baharu dan mereka menanam kira-kira 350 hektar ladang lada baharu. “Kami akan membelanjakan kurang sedikit pada tahun ini berbanding 2019 bagi skim penanaman baharu berikutan kita kini menghampiri penghujung Rancangan Malaysia ke-11. Jumlah perbelanjaan kami pada setiap tahun adalah melebihi RM20 juta termasuk perbelanjaan subsidi, operasi dan pembangunan,” katanya. Ketahui lada anda dan nilainya Liew berkata penanaman lada menjana enam hingga tujuh kali lebih pendapatan bagi setiap tan berbanding penamanan sawit.

Harga semasa lada hitam adalah US$3,000 satu tan (US$1=RM4.29) manakala lada putih diniagakan pada US$4,000 satu tan pada masa ini.

“Kami mempunyai satu lagi lada yang dipanggil ‘lada putih berkrim’ dan harganya mencapai dua kali ganda daripada lada putih (US$8,000 satu tan). Jadi, kami cuba menggalakkan orang ramai untuk meneroka pengeluaran lada putih berkrim.

“Lada putih berkrim ini adalah lebih berkrim berbanding lada putih dan bijinya lebih besar. Negara-negara seperti Amerika Syarikat, China, Jepun dan Singapura mengimport produk ini,” katanya. Saraspice mendapat wajah baharu Lembaga merancang untuk penjenamaan semula Saraspice, jenama yang dimiliki oleh MPB selama 24 tahun.

“Kami memberi penampilan baharu dan slogan baharu kepada jenama ini untuk kekal relevan dalam pasaran. Pada masa sama, kami membawakan pelbagai produk berasaskan lada atau produk nilai tambah selain produk hiliran semasa kami -- minyak wangi, sabun, losyen, sos lada hitam dan gula-gula.

“Kami menjangka untuk melancarkan semula wajah (pembungkusan) baharu Saraspice bersama dengan barisan produk baharunya dalam tempoh empat bulan akan datang,” katanya, sambil menambah lembaga merancang untuk mempromosikan produk tersebut di peringkat tempatan dan antarabangsa serta berharap ia dapat meningkatkan penggunaan lada.

Liew berharap dengan penggunaan lada yang lebih tinggi, ia dapat menaikkan harga komoditi itu dan memberi manfaat kepada pekebun kecil.

Setakat ini, daripada 30,000 hingga 40,000 tan lada yang dihasilkan, sebanyak 30 peratus untuk penggunaan tempatan dan 30 peratus lagi dieksport manakala baki untuk simpanan stok.

“Kami menyasarkan tahap aktiviti tertinggi untuk industri ini. Kami akan memanfaatkan Internet of Things (IoT) untuk pertanian pintar, mempromosikan produk kami melalui platform e-dagang dan menggunakan pempengaruh (influencer). Malah, kami merancang untuk mengadakan pelancongan lada bagi memberi pengalaman kepada pelancong di ladang lada di sini.

“Kami akan mengembangkan pengedaran semasa kami ke Semenanjung Malaysia, Singapura dan di peringkat global, dengan aktiviti pemasaran yang dipertingkatkan dan menggunakan promosi media sosial.

“Sasaran kami ialah meningkatkan keterlihatan dan ketersediaan lada Sarawak kepada rakyat Malaysia dan dunia, akhirnya akan meningkatkan permintaan terhadap lada Sarawak premium kami, justeru, menaikkan harga lada Malaysia dan memberi manfaat kepada petani lada,” katanya. Internet of Things Mengikuti perkembangan kemajuan teknologi, Sarawak tidak lama lagi akan mengguna pakai IoT untuk memantau ladang-ladang lada menggunakan telefon pintar dan komputer riba.

Menurut Liew, pihaknya telah berbincang dengan penyelidik, seperti mengenai penggunaan perkhidmatan dron untuk baja.

Kajian yang sesuai perlu dijalankan, misalnya, mengenai berat baja yang dapat dibawa dan ditabur oleh dron untuk setiap hektar dan langkah terbaik untuk digabungkan dalam pertanian lada pintar.

“Kami (turut) berharap dengan berbuat demikian, kami dapat menarik golongan belia untuk menggunakan kaedah pertanian pintar ini,” katanya.

Liew berkata melaksanakan pertanian pintar menjadi pilihan terbaik selepas Perintah Kawalan Pergerakan untuk membendung jangkitan COVID-19.

“Petani tidak dapat mengusahakan ladang mereka, menghasilkan benih yang tidak berkualiti (berikutan kekurangan baja dan air yang betul)," katanya, sambil menambah penggunaan IoT dapat mengelak situasi itu. -- BERNAMA




Sumber: Bernama

0 views0 comments