Lesen khas bermula 2022



Putrajaya: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) bercadang memperkenalkan lesen khas perniagaan dalam talian bagi melindungi pengguna daripada menjadi mangsa penipuan peniaga dalam talian (e-dagang) atau scammer bermula tahun depan.


Timbalan Menterinya, Datuk Rosol Wahid berkata, menerusi lesen itu, peniaga tertakluk kepada syarat lesen yang perlu dipatuhi manakala pengguna dapat melakukan pembelian tanpa ragu-ragu.


Katanya, sehingga tahun lalu sebanyak 355,676 syarikat dalam talian berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan kementerian kini dalam rangka cadangan melaksanakan lesen khas perniagaan berkenaan.


"Cadangan itu bakal mewajibkan setiap peniaga dalam talian untuk mendapatkan lesen khas berkenaan," katanya melalui satu kenyataan media selepas menghadiri Majlis Pelancaran dan Penganugerahan Anugerah Pilihan Pengguna 2020-2021 di sini, semalam.


Sepanjang 2020, KPDNHEP merekodkan aduan berhubung masalah transaksi membabitkan 11,510 aduan.


Daripada jumlah itu, sejumlah 7,797 aduan membabitkan pengguna tidak menerima barang atau perkhidmatan ditawarkan.


Berbanding pada 2019, kementerian menerima sejumlah 5,415 aduan berhubung transaksi dalam talian dengan 3,821 daripadanya adalah kerana tidak menerima barang atau perkhidmatan ditawarkan.


Rosol berkata, Pindaan terhadap Peraturan-Peraturan Perlindungan Pengguna (Urus Niaga Perdagangan Elektronik) 2012 mengikut Akta Perlindungan Pengguna 1999 itu perlu diadakan terlebih dahulu sebelum lesen khas itu dilaksanakan.


Katanya, kementerian dapat menguatkuasakan dan mengambil tindakan undang-undang terhadap peniaga yang tidak beretika yang didapati melanggar Peraturan-Peraturan Perlindungan Pengguna (Urus Niaga Perdagangan Elektronik) 2012 di bawah Akta Perlindungan Pengguna 1999.


"Berdasarkan statistik daripada Malaysia Computer Emergency Response Team (MyCERT) terdapat lebih 7,000 kes penipuan dalam talian yang dilaporkan pada tahun lalu.


"Melihat perkembangan ini, kementerian menyeru komuniti pengguna mengambil sikap lebih berhati-hati ketika berurusan di dalam talian.


"Penipuan transaksi dalam talian ini boleh dielak sekiranya pengguna membuat semakan nombor akaun bank peniaga sebelum melakukan pemindahan wang," katanya.


Beliau memberi reaksi terhadap pendedahan Harian Metro semalam berhubung peningkatan kes penipuan e-dagang di Malaysia yang meningkat hampir sekali ganda tahun lalu berbanding 2019.


Berdasarkan statistik didedah Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Zainuddin Yaacob, sebanyak 5,848 kes direkodkan sepanjang tahun lalu membabitkan kerugian lebih RM41 juta ditanggung mangsa jual beli e-dagang.


Peningkatan kes penipuan didakwa berlaku ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) apabila kebanyakan pengguna memilih kaedah pembelian atau jualan dalam talian.



--Sumber: Harian Metro

2 views0 comments