Lima langgar SOP kuarantin dikenakan tindakan polis


KUALA LUMPUR : Seramai lima individu dikenakan tindakan oleh polis semalam, kerana gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) kuarantin di rumah seperti diarahkan Kementerian Kesihatan (KKM).


Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata ia adalah hasil daripada 1,969 pemeriksaan terhadap individu yang sedang menjalani kuarantin wajib 14 hari di kediaman masing-masing.


Beliau berkata, pemeriksaan berkenaan dilakukan semalam, membabitkan anggota polis dan petugas Kementerian Kesihatan, bagi memastikan semua SOP kuarantin dipatuhi sepenuhnya.


"Sejak 24 Julai sehingga 4 Ogos 2020, seramai 5,355 individu pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa dan kesemua mereka ditempatkan di 21 Hotel dan 5 Institut Latihan Awam (ILA) di Kuala Lumpur, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kelantan, Sarawak, Selangor, Perak dan Johor.


"Daripada jumlah itu, seramai 13 individu dihantar ke hospital untuk rawatan lanjut," katanya dalam satu kenyataan media di sini hari ini.


Ismail Sabri berkata, semua individu terbabit terdiri daripada rakyat tempatan yang pulang dari 28 negara termasuk Filipina, Thailand, Indonesia, Kemboja, Singapura,

Vietnam, Brunei, Qatar, Pakistan, Arab Saudi, Hong Kong, India, UAE, Jepun, Turki, Korea Selatan, Iran, Nepal, Bangladesh, Taiwan, China, United Kingdom, Belanda, Papua New Guinea, Mesir, Sepanyol, Perancis dan Australia.


Dalam perkembangan berasingan, beliau berkata, pemeriksaan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) terhadap 38 tapak binaan mendapati satu tapak tidak mematuhi SOP dan diberi nasihat untuk segera berbuat demikian.


"Hasil pemeriksaan oleh 78 anggota penguat kuasa itu, 34 daripada tapak mematuhi segala SOP manakala tiga lagi tapak binaan tidak beroperasi," katanya.




Sumber: Berita Harian

0 views0 comments