Luar setinggan, dalam kondo



TEMPOH pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dimanfaatkan sebuah keluarga untuk mendekorasi kediamannya di Kuala Krai, Kelantan.


Jika dilihat dari luar, kediaman itu nampak biasa sahaja, bagaimanapun sebaik masuk ke dalam rumah suasananya amat berbeza dengan hiasan moden yang kelihatan amat kemas dan menarik.


Pemilik kediaman itu, Leila Mod Zain, 36, berkata, dia memilih untuk menghias bahagian dalam rumah terlebih dahulu hasil tabungan lebih setahun.



"Ini yang dilakukan kami sepanjang PKP, memandangkan banyak masa dihabiskan di rumah timbul niat untuk menghias rumah dibantu suami dan anak-anak.


"Memang nak cantikkan bahagian luar rumah juga tapi belum cukup duit apatah lagi pendapatan keluarga tidak banyak hanya RM1,500 sebulan," katanya kepada Harian Metro hari ini.


Leila turut memuat naik gambar bahagian luaran dan dalaman rumahnya di Facebook dan dikongsi 6,000 pengikut serta 3,000 tanda suka.


Leila berkata, ilham untuk menghias ruang dalaman rumah itu datang dari adiknya, Hamnee Mod Zain, 32, yang mempunyai minat sama.


"Adik tinggal di Kuala Lumpur dan dia banyak membantu saya membeli barangan hiasan dalaman rumah.

"Idea dan nasihat dekorasi rumah ini banyak dari dia. Sekarang, baru siap satu sudut dan saya memang merancang mencantikkan satu rumah tapi tunggu dulu sehingga duit mencukupi," katanya.


Menurutnya, dia turut menjalankan perniagaan ayam percik secara dalam talian sebagai usaha mengumpul duit untuk menyiapkan dekorasi rumahnya.


Ibu kepada dua cahaya mata itu berkata, walaupun kediaman itu hanya rumah sewa tetapi dia tetap bersemangat menghias mengikuti citarasa sendiri untuk keselesaan mereka sekeluarga.


"Tidak kira tinggal di rumah flat, kondo atau rumah kampung semuanya layak mencantikkan rumah masing-masing," katanya.



Sumber: Berita Harian

2 views0 comments